Sejak kebelakangan ini, tular fenomena #gengsubuhmacamjumaat hasil cetusan idea penyanyi popular, Alif Satar yang mengajak semua umat Islam untuk memenuhi ruang masjid di tempat masing – masing untuk mengerjakan solat fardhu subuh sama seperti penuhnya masjid di waktu solat Jumaat. Menurut beliau, idea ini tercetus selepas beliau menghadiri sebuah ceramah di mana penceramah di majlis tersebut ditanyakan soalan bagaimana ingin membantu saudara kita di P4l3stin. Penceramah itu menanyakan semula kepada para jemaah “kamu selalu solat subuh di masjid?” Maka jemaah itu menjawab “tidak, solat di rumah takut mengantuk”. Lalu penceramah tersebut menegur “macam mana kita nak bantu saudara kita kalau mengantuk pun kita takut?”
Maka dari teguran itu, beliau terkesan dan tercetuslah idea #gengsubuhmacamjumaat. Alhamdulillah, kempen tersebut mendapat sambutan yang luar biasa daripada umat Islam khususnya anak – anak muda. Inilah yang kita mahukan, seorang selebriti menggunakan pengaruhnya untuk mengajak manusia khususnya golongan belia untuk membuat kebaikan dengan memenuhi rumah Allah SWT dan melakukan solat jemaah bersama – sama selain beramah mesra mengeratkan silaturahim.
Islam sememangnya menggalakkan usaha agar manusia mengajak orang lain melakukan kebaikan. Perbuatan mengajak orang lain melakukan kebaikan juga termasuk dalam usaha bertolong-tolongan dalam melakukan kebaikan. Dengan saranan, nasihat atau perbuatan baik yang ditunjukkan sehingga menyebabkan orang lain terkesan melihatnya lantas turut melakukan kebaikan dapat menyerlahkan usaha bantu-membantu melakukan kebaikan. Firman Allah SWT:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (QS Al – Ma’idah: 2).
Bahkan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang menunjukkan kepada sesuatu kebaikan maka baginya seperti pahala pelakunya.” (HR Muslim).
Sesungguhnya, usaha yang dilakukan oleh penyanyi popular tersebut memberikan impak yang sangat besar di dalam hidup masyarakat terutamanya umat Islam pada hari ini. Dikhabarkan juga kempen ini bukan sahaja mendapat sambutan di dalam negara, bahkan turut mendapat reaksi positif dari negara – negara luar. Mashaa Allah, satu fenomena yang luar biasa. Semoga usaha ini berterusan hingga akhirnya dan iman umat Islam semakin teguh dan kukuh.
Sumber: Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)