Home Kemanusiaan/Motivasi TREND BUKA AIB PASANGAN DI MEDIA SOSIAL: HAL EHWAL RUMAH TANGGA BUKANLAH...

TREND BUKA AIB PASANGAN DI MEDIA SOSIAL: HAL EHWAL RUMAH TANGGA BUKANLAH UNTUK TATAPAN UMUM

311
0

Sama ada kita sedar atau tidak, penggunaan media sosial pada hari ini bukanlah sekadar untuk menyebarkan kebaikan, malah kini lebih kepada membuka aib sesama kita. Tidak cukup dengan melondehkan aib sendiri, kini aib pasangan juga terpalit sama. Khususnya di platform TikTok di mana terlalu ramai pasangan suami isteri yang tanpa segan silu membuka aib mereka di antara satu sama lain kononnya atas alasan ingin mempertahankan diri.

Dalam Islam, terdapat penekanan yang kuat terhadap pemeliharaan keharmonian dalam rumah tangga. Menceritakan hal rumah tangga secara terbuka kepada khalayak umum mungkin boleh menimbulkan masalah seperti fitnah, mengaibkan pasangan masing-masing dan gangguan privasi kedua-dua pihak. Allah SWT dan Rasulullah SAW menekankan pentingnya menjaga rahsia keluarga dan menjauhi perbuatan yang boleh merosakkan reputasi serta hubungan antara suami isteri. Islam menggalakkan penyelesaian konflik melalui perbincangan, sabar dan menggunakan kebijaksanaan bukannya dengan menyebarkan cerita yang boleh merosakkan hubungan terutama di media sosial walaupun kita pempengaruh sekalipun.

Firman Allah SWT:

“Wahai orang beriman! Jauhilah daripada banyak prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Apakah ada antara kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.” (QS Al – Hujurat: 12).

Jangan jadikan platform media sosial untuk menegakkan pendirian masing-masing menyebabkan pihak yang tiada kaitan mengambil kesempatan memalukan diri dan keluarga. Rahsia rumahtangga ini sepatutnya disimpan rapi oleh pasangan suami isteri kecuali ada di antara mereka memerlukan khidmat nasihat dan bimbingan, ia dibolehkan untuk mendedahkan kepada pihak berautoriti contohnya kaunselor, wali atau hakim. Sekiranya ada di antara mereka yang sesuka hati meluahkan atau menceritakan hal peribadi dalam media sosial dan membuka aib pasangan masing-masing hukumnya adalah berdosa. Allah SWT berfirman:

“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan keburukan orang)..” (QS An – Nisa’: 148).

Justeru, perlulah diingatkan sekali lagi, suami dan isteri perlu menyimpan erat rahsia rumah tangga walaupun sepopular mana pun kita di laman sosial. Jika perlu penyelesaian masalah jangan diselesaikan di mahkamah netizen atau media, tetapi diuruskan sebaik mungkin melaui penasihat bertauliah di mahkamah syariah atau keluarga. Keaiban didedahkan bukan membaiki hubungan malah menambah teruk situasi yang sudah sedia parah.

Sumber: Laman Web Tarbiah Sentap