Home Ektremisme/radikalisme PENGHINAAN TERHADAP AGAMA ISLAM ADALAH PERBUATAN EKSTREMISME YANG PERLU DISEKAT SEGERA

PENGHINAAN TERHADAP AGAMA ISLAM ADALAH PERBUATAN EKSTREMISME YANG PERLU DISEKAT SEGERA

170
0

Di Malaysia, isu penghinaan agama Islam adalah merupakan isu sensitif dan boleh menjejaskan keharmonian dalam bermasyarakat. Tambahan pula, Islam merupakan agama Persekutuan dan dianuti oleh lebih daripada separuh populasi penduduk di negara ini. Justeru itu, perbuatan mencemarkan kesucian dan memperlekehkan agama Islam boleh menimbulkan kemarahan dan protes daripada umat Islam atau majoriti penduduk Malaysia.

Malah isu penghinaan agama Islam adalah satu isu yang tidak boleh ditangani melalui sistem perundangan sedia ada semata-mata. Hal ini kerana tiada peruntukan yang jelas dan tegas mengenai penghinaan agama Islam yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Manakala undang-undang Syariah pula mempunyai kelemahan dari aspek pendakwaan dan pensabitan kes kerana skop kesalahan menghina agama bersifat umum dan kabur.

Natijahnya, sehingga ke hari ini masih terdapat individu yang berani melakukan perbuatan mencemarkan kesucian dan menjatuhkan martabat agama Islam. Mengikut statistik sepanjang tahun 2020-2022, didapati daripada 55 kes penghinaan agama yang dilaporkan seperti perbuatan membakar al-Quran, memijak al-Quran, menghina Nabi Muhammad SAW dan sebagainya, hanya lima kes sahaja yang telah disabitkan kesalahan dan dihukum.

Kepincangan dalam membanteras isu penghinaan agama disebabkan ramai yang telah terpengaruh dengan ideologi-ideologi yang dikatakan lebih bebas seperti liberalisme, sekularisme dan sebagainya, ditambah pula dengan kelompongan undang-undang menjadi punca agama Islam dan umatnya terancam jika tidak diambil tindakan sepatutnya oleh pihak-pihak berkewajipan kerana sifat-sifat ekstremisme ini mampu mencetuskan isu-isu yang lebih besar seperti rasisme sehingga berlakunya ancaman keselamatan pada negara.

Sumber: Akidah and Global Outreach Centre -USIM