Home Kemanusiaan/Motivasi REZEKI TIDAK PERNAH SALAH ALAMAT ALLAH SWT PEMBERI JAMINAN REZEKI BUAT HAMBANYA

REZEKI TIDAK PERNAH SALAH ALAMAT ALLAH SWT PEMBERI JAMINAN REZEKI BUAT HAMBANYA

334
0

Pada hari ini, persepsi manusia terhadap rezeki hanya terlihat kepada material sahaja. Padahal masih banyak jenis rezeki yang dapat kita rasakan, seperti keluarga yang bahagia, rakan-rakan yang baik, persekitaran yang menyegarkan dan sebagainya. Ada segelintir manusia yang merasakan sumber rezeki hanya hasil kerja keras dan usahanya sahaja. Sedangkan Allah SWT telah menyediakan pelbagai jalan menuju rezeki yang telah disebutkan dalam al – Quran.

Rezeki, jodoh, dan kematian sudah ditakdirkan oleh Allah SWT, dan akan tetap menjadi rahsiaNya. Oleh sebab itu, sebagai manusia kita wajib berusaha untuk mendapatkan rezeki tersebut. Selain itu, ia mesti diiringi dengan doa yang sebaik-baiknya kepada Allah SWT. Selebihnya, kita serahkan pada takdir dan ketentuan Allah SWT.

Allah SWT menciptakan makhluk-Nya di atas muka bumi ini dan mengurniakan setiap makhluk rezeki daripada pelbagai bentuk. Allah SWT tidak sekali-kali membiarkan makhluk-Nya hidup tanpa kurniaan rezeki. Hal itu dijelaskan Allah SWT menerusi firmanNya yang bermaksud:

“…Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira.” (QS Ali Imran: 37).

Memang benar, kita berusaha untuk mendapatkan rezeki, namun usaha itu bergantung sepenuhnya kepada ketentuan Allah SWT. Hal ini kerana Allah SWT adalah pemberi jaminan rezeki buat para hambaNya. Allah SWT berfirman:

“Dan tiadalah sesuatu pun daripada kalangan makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia kembali. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada para malaikat yang berkenaan).” (QS Hud: 6).

Oleh itu, apabila rezeki yang dihajati masih belum diperoleh sedangkan doa dan usaha acap kali dilakukan, usah salahkan takdir. Ada kalanya Allah SWT tidak mengurniakan sesuatu yang diminta tetapi Dia mengurniakan sesuatu yang diperlukan. Bersabarlah dalam memohon rezeki daripadaNya, Allah SWT mengurniakan rezeki kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya. Asalkan hamba itu berusaha mendapatkan rezeki yang dihajati.

Sumber: Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)