Home Liberalisme LIBERALISME DALAM ISLAM IBARAT WABAK YANG MENYERANG SARAF IMAN HINGGA MELUMPUHKAN KEYAKINAN...

LIBERALISME DALAM ISLAM IBARAT WABAK YANG MENYERANG SARAF IMAN HINGGA MELUMPUHKAN KEYAKINAN AKIDAH UMAT ISLAM

59
0

Tidak keterlaluan untuk menyimpulkan bahawa liberalisme adalah jelmaan Muktazilah zaman moden iaitu yang menyeru kepada pemahaman dan pengamalan agama secara bebas tanpa terikat dengan pemahaman para ulama Islam terdahulu. Umum mengetahui Islam liberal muncul setelah melihat liberalisme dalam masyarakat Eropah membuahkan kemajuan. Pembebasan manusia dari kerangka kuasa gereja yang mengongkong kehidupan masyarakat dalam kesemua hal dianggap sebagai punca kemajuan.

Hal ini telah ‘menggelapkan mata’ sebahagian intelektual Muslim. Mereka menyangka tatkala melakukan pembaharuan terhadap agama Islam dengan meninggalkan akar tradisi dan keilmuan para ulama silam, umat Islam akan lebih maju sebagaimana masyarakat Barat. Liberalisme bukanlah sekadar ideologi dan teori bersifat intelektual semata-mata, malahan mampu mendatangkan kesan terhadap tingkah laku para penganutnya. Ianya ibarat wabak yang menyerang saraf iman sehingga melumpuhkan keyakinan akidah seseorang Muslim.

Inilah rentetan kemunculan Islam liberal yang akhirnya memberi kesan pada akidah umat Islam. Golongan cerdik pandai Muslim seharusnya mempertahankan syariat Islam, kepakaran dalam bidang masing-masing seharusnya menjadi senjata ampuh untuk menepis segala ideologi yang menyalahi syariat Islam. Namun, sebaliknya mereka pula yang mengadaptasikan fahaman sesat itu dalam Islam seolah-olah membenarkan kebenaran ideologi liberalisme tersebut. Jika golongan cerdik pandai pun terpengaruh dengan sentimen sesat ini, maka apakah bakal terjadi pada masyarakat? Oleh sebab itu, autoriti yang bertanggungjawab perlu memainkan peranan penting untuk membendung golongan liberalisme khususnya dalam kalangan cerdik pandai supaya tidak memberikan salah faham kepada umat Islam yang lain.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor