Home Kemanusiaan/Motivasi UTAMAKANLAH PERSIAPAN IBADAH WAJIB BERBANDING PENGANJURAN KONSERT HORMATILAH KEDATANGAN BULAN RAMADAN

UTAMAKANLAH PERSIAPAN IBADAH WAJIB BERBANDING PENGANJURAN KONSERT HORMATILAH KEDATANGAN BULAN RAMADAN

105
0

Walaupun kenyataan pihak penganjur telah dikeluarkan dengan alasan untuk mengumpul dana buat rakyat P4l3stin, akan tetapi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk membuat persiapan sempena kedatangan Ramadan harus diutamakan. Ini kerana ibadah wajib adalah perkara yang utama. Teguran mufti ke atas seorang penyanyi tersohor tanah air berkenaan penganjuran konsertnya merupakan satu peringatan kepada kita semua akan keutamaan ibadah kepada Allah SWT melebihi segala apa hiburan yang ada di dunia. Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari).

Dalam teguran tersebut, mufti itu turut mengingatkan umat Islam untuk mengambil peluang menggandakan amal ibadat serta banyak melakukan kerja kebajikan. Meskipun konsert tersebut mendapat sambutan yang luar biasa, mufti berpendapat bahawa aspek keagamaan dan kehormatan terhadap bulan Ramadan sepatutnya diberi pertimbangan.

Sebenarnya, banyak lagi acara yang boleh dilakukan untuk mengumpul dana buat saudara kita di P4l3stin selain dari mengadakan konsert nyanyian. Bayangkan beberapa artis dari luar negara terpaksa membatalkan konsert mereka di Malaysia bagi menghormati mangsa peperangan di P4l3stin. Tidakkah kita tidak terkesan dengan tindakan mereka yang lebih menghormati agama Islam daripada kita sendiri? Bukan sahaja konsert yang boleh dilakukan, malah acara seperti makan malam amal, mengadakan malam selawat amal dan juga sambutan ambang Ramadan juga boleh diadakan dalam mengumpul dana buat saudara kita di P4l3stin.

Ingatlah, ada kalanya matlamat tidak menghalalkan cara. Hormatilah kedatangan bulan suci Ramadan sebagai tanda tawaduknya kita kepada Allah SWT. Menghormati kesucian Ramadan adalah menjadi tanggungjawab kita semua. Kedatangan bulan Ramadan seharusnya menjadi bulan mendidik masyarakat untuk saling memahami, bertoleransi dan menghayati kesusahan insan lain. Ramadan adalah sebuah madrasah tarbiyah yang sekiranya dilalui dengan penuh iltizam dapat mempertingkatkan darjat ketakwaan kepada Allah SWT. Perkara ini selaras dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)