Home Kemanusiaan/Motivasi ELAKKANLAH TERGOLONG DALAM GOLONGAN GHIBAH BERDIAM DIRI LEBIH BAIK DAN MENJAGA KEIMANAN

ELAKKANLAH TERGOLONG DALAM GOLONGAN GHIBAH BERDIAM DIRI LEBIH BAIK DAN MENJAGA KEIMANAN

270
0

Agama Islam mengajarkan kepada pembentukan akhlak yang mulia kepada seluruh umat manusia. Di antara perkara yang menunjukkan kepada akhlak yang terpuji adalah memelihara lidah dan tutur kata. Ini kerana sesungguhnya lidah adalah salah satu anggota yang paling berbahaya pada batang tubuh manusia. Jenayah lidah adalah seburuk-buruk jenayah. Di antara jenayah yang paling besar yang boleh dilakukan oleh lidah adalah ‘ghibah’ yakni mengumpat dan bercakap aib seseorang di belakangnya.

Ghibah itu merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar. Bahkan ghibah itu bukan sahaja dengan kata-kata, malahan dengan perbuatan juga. Firman Allah SWT:

“dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat), maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.” (QS Al – Hujurat: 12).

Allah SWT melarang hamba-hambanya yang beriman daripada bersangka buruk iaitu dengan menuduh sembarangan dan berlaku khianat kepada orang lain mahupun ahli keluarga terdekat. Perbuatan ini termasuk dalam dosa-dosa besar kerana jelas larangannya. Para ulama juga bersepakat atas pengharaman membuka aib seseorang kecuali atas maslahat-maslahat tertentu mengikut saluran yang sepatutnya. Dosa ghibah boleh membawa kepada seseorang itu menjadi muflis dan bankrup pada Hari Kiamat kelak dengan menghabiskan semua pahala yang dilakukannya secara keseluruhan. Sabda Rasulullah SAW:

“(Tidakkah kamu mengetahui siapakah orang muflis? Maka berkata para sahabat: Muflis itu orang tidak mempunyai wang dan harta. Berkata Nabi SAW: Orang muflis itu adalah golongan yang datang pada hari kiamat dengan kebaikan-kebaikan yang besar dan amal-amal yang soleh yang banyak seperti; solat, puasa dan zakat. Namun golongan ini dahulunya telah mencela (mengata) kepada si fulan, memukul si fulan, mengambil harta si fulan, menuduh si fulan, menumpahkan darah si fulan. Maka datanglah kepada orang muflis ini si fulan dan si fulan mengambil kebaikanya sehinggalah kebaikanya habis. Selepas itu, diambil pula keburukan orang-orang tersebut dipalitkan kepada si muflis ini. Kemudian dia akan dilemparkan ke dalam neraka).” (HR Muslim).

Oleh itu, marilah kita bermuhasabah diri tentang apa yang kita lakukan selama ini. Boleh jadi tanpa kita sedar yang kita sudah pun termasuk dalam golongan ghibah. Islam menunjukkan kepada kita sifat mukmin yang sejati yang sentiasa mencari mardhatillah, melakukan yang baik dan bersifat dengan sifat mahmudah serta menjarakkan daripada sifat-sifat mazmumah. Akhlak yang mulia sudah tentu membentuk keperibadian yang mulia seseorang dengan sakhsiah Islamiyyah yang nyata. Hasilnya, mereka dapat mewatakkan diri mereka sebagai jail (generasi) Qurani yang unik.

Marilah kita menjauhi sifat ghibah ini dan berkata perkara yang baik – baik ataupun diam. Rasulullah SAW bersabda:

“Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam.” (HR Bukhari).

Sumber: Laman Web Dr. Zulkifli Mohamad Al – Bakri