Tidak dinafikan mutakhir ini ramai manusia terutama sekali golongan belia memilih untuk menjadi seorang pempengaruh (content creator) kerana ganjaran lumayan yang diperolehi. Akan tetapi, ia bukanlah alasan untuk kita mengambil kesempatan untuk mempersendakan nama manusia lain. Ini seperti isu yang tular di mana seorang pempengaruh terkenal yang memuat naik kandungan (content) seolah – olah memerli nama seorang selebriti hingga mendapat perhatian ramai.
Memang benar kalau ada yang mengatakan “Ah! Bukan dia seorang saja yang mempunyai nama itu” atau “Artis ni cepat koyak! Ramai je artis lain disebut, tapi tak koyak macam dia”. Namun perlu diingatkan kita tidak tahu tujuan sebenar pempengaruh itu memuatnaik kandungan tersebut, dan apabila disebutkan nama tersebut sudah tentu ramai yang mengenali dan menjadi bualan warganet di media sosial. Ini secara langsung menjejaskan reputasi orang tersebut.
Di dalam al – Quran, Allah SWT sudah memerintahkan setiap hambaNya untuk berkata – kata perkataan yang baik. Islam juga amat menganjurkan umatnya untuk sentiasa mengucapkan perkataan-perkataan yang baik kepada saudaranya sama ada muslim atau bukan Islam. Allah SWT berfirman:
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh.” (HR Al – Fussilat: 33).
Walaupun kandungan (content) tersebut tidaklah berunsurkan celaan, namun dengan menggunakan nama manusia sebagai bahan sendaan itu juga satu perbuatan yang tidak baik. Rasulullah SAW bersabda:
“Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (HR Bukhari).
Maka dari itu, jauhilah dari sikap seperti ini. Janganlah kita sesekali bersenda gurau dalam keadaan yang melampau sehingga menyakitkan hati orang lain. Beradablah dalam memuatnaik sebarang kandungan (content) di media sosial. Jadikanlah kandungan (content) itu sesuatu yang bermanfaat kepada agama dan masyarakat.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan