Mengingati kematian itu harus kepada umat Islam. Ini kerana dengan mengingati kematian barulah kita sedar bahawa hidup di dunia ini hanyalah sementara dan sesungguhnya akhirat adalah tempat di mana kita semua akan dikumpulkan untuk diperhitungkan segala amalan. Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Ali Imran, ayat 185 yang bermaksud:
“Setiap yang bernyawa akan merasai mati, dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Oleh itu, sesiapa yang dihindarkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya.”
Sementara itu dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Perbanyakkan mengingati pemutus kelazatan (iaitu kematian).” (HR At – Tirmidzi).
Akan tetapi, adakah kita sebagai umat Islam digalakkan untuk menyimpan cita – cita untuk mati? Dalam konteks yang artikel maksudkan pada artikel ini adalah bunuh diri. Sesungguhnya semua umat Islam sedia maklum akan hukum mengambil nyawa sendiri itu haram. Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (QS Al – Baqarah: 195).
Di akhir zaman ini, ramai yang bercita – cita untuk menamatkan riwayat mereka sendiri dek kerana tidak tertahan dengan ujian kehidupan yang semakin berat. Alasan depress dan tekanan yang berat menyebabkan sebilangan di kalangan kita mengambil keputusan sebegitu. Malah dalam satu ujian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui ujian MyMinda di dalam aplikasi MySejahtera mendapati sebanyak 1,315 daripada saringan itu adalah tingkah laku untuk membunuh diri. Satu jumlah yang agak mengejutkan tetapi fakta.
Dalam keadaan ini apa yang harus kita lakukan? Buat yang mengalami sindrom seperti ini, dapatkanlah rawatan dengan kadar segera. Selain itu, cubalah berikhtiar untuk menjalani gaya hidup yang sihat dengan memperbanyakkan aktiviti yang boleh mengelakkan kita daripada kesunyian dan berterusan untuk berfikir soal bunuh diri. Begitu juga dengan para waris, jangan sesekali tinggalkan penghidap sindrom seperti ini keseorangan atau berada di dalam kesedihan. Sentiasalah berdampingan dengan mereka, memberi sokongan moral dan saling melakukan perbincangan untuk mencari solusi kepada permasalahan mereka.
Apa yang penting, buat umat Islam jangan sesekali tinggalkan solat. Ini kerana Allah SWT adalah sebaik – baik tempat kita mengadu. Ingatlah, membunuh diri walau apa pun alasannya adalah perbuatan putus asa daripada rahmat Allah SWT dan seolah-olah menentang takdir yang ditentukan oleh Allah SWT kepadanya. Justeru, ia akan diharamkan daripada memasuki syurga. Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bersabda:
“Barangsiapa membunuh dirinya dengan sesuatu di dunia, maka dia akan diazab dengan sesuatu yang digunakannya itu di hari kiamat kelak.” (HR Bukhari dan Muslim).
Sumber: Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS)