Home Kemanusiaan/Motivasi PETANDA KIAMAT SEMAKIN TIBA KEPINCANGAN ZAMAN JAHILIAH SEMAKIN HARI SEMAKIN SEBATI DENGAN...

PETANDA KIAMAT SEMAKIN TIBA KEPINCANGAN ZAMAN JAHILIAH SEMAKIN HARI SEMAKIN SEBATI DENGAN MASYARAKAT

217
0

Pada hari ini, boleh dikatakan maksiat semakin dibangga – banggakan, sama keadaannya di zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam. Kini, orang paling jahat dalam kalangan kita orang yang paling dihormati dan disanjung tinggi. Sedangkan yang berada di pihak yang benar pula dihina dan dicaci. Benarlah apa yang dikata, yang jahat nampak elok, yang elok nampak jahat. Nabi SAW telah mengkhabarkan kepada kita bahawa Islam akan kembali kepada asing iaitu seperti mula-mula nabi menyebarkan dakwah dalam kegelapan jahiliah. Demikian juga di akhir zaman, Islam dan hukum-hukumnya menjadi asing, tetapi maksiat dibangga-banggakan. Sedangkan seseorang yang mempunyai iman dalam hati pasti mempunyai sifat malu kerana malu itulah yang memelihara diri daripada maksiat. Seperti Nabi SAW pernah bersabda:

“Malu itu sebahagian daripada iman.” (HR Bukhari).

Bagaimana situasi jahiliah ini dikatakan sudah sebati dengan masyarakat? Ia dapat dilihat di dalam situasi yang sedang memanas pada ketika ini apabila isu tentang lelaki yang berpoligami dan lelaki yang ditangkap akibat terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral. Dapat dilihat di sini bahawa masyarakat kita begitu benci dengan hukum poligami dan sesiapa sahaja yang mengamalkan poligami seolah-olah ia tidak patut dibenarkan oleh Allah SWT. Akan tetapi, apabila sampai sahaja isu berkenaan lelaki yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral, maka berduyun -duyunlah masyarakat mendoakan seperti keep strong, “semoga dipermudahkan urusan,” “tabahlah’ dan pelbagai kata-kata positif daripada warganet yang dahulu sangat mengecam tindakan sesiapa sahaja yang berpoligami. Kepincangan apakah ini? Adakah manusia di era ini telah gagal membezakan yang mana halal dan yang mana haram?

Inilah situasi yang dikatakan oleh Rasulullah SAW sebagai umat akhir zaman dalam sabda baginda yang bermaksud:

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah.” (HR Ibnu Majah).

Maka dari itu, ubahlah ‘mindset’ dan bukalah mata kita untuk melihat keadaan yang sebenar. Berdoa dan mintalah perlindungan daripada Allah SWT agar diri kita serta keturunan kita tidak terjebak dalam kancah maksiat yang sedang dibangga – banggakan. Tingkatkanlah amal ibadah kita dengan sesungguh – sungguhnya agar kita selamat di dunia dan akhirat.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan