Home Kemanusiaan/Motivasi WASPADA DENGAN CUBAAN EKSPLOITASI KETURUNAN MULIA IMEJ BERJUBAH DAN BERSERBAN BUKAN JAMINAN...

WASPADA DENGAN CUBAAN EKSPLOITASI KETURUNAN MULIA IMEJ BERJUBAH DAN BERSERBAN BUKAN JAMINAN UNTUK DISANJUNG TINGGI

180
0

Kewujudan zuriat keturunan baginda Nabi SAW melalui anak-anak Fatimah RA, iaitu Hasan RA dan Husain RA pada hari ini adalah satu perkara yang tidak boleh kita nafikan. Kejahilan sesetengah pihak mengenai aspek ini tidak menjadi hujah untuk menafikannya. Antara dalil jelas mengenai wujudnya keberadaan mereka ialah pelbagai hadis berkaitan Imam al-Mahdi yang akan muncul di akhir zaman menyatakan bahawa beliau adalah daripada keturunan Nabi SAW. Antara sabdanya:

“Dunia tidak akan hancur dan berakhir sehinggalah seorang lelaki daripada Ahli Baitku menguasai bangsa Arab, yang namanya juga menyamai namaku.” (HR Ahmad).

Namun hari ini, kita dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Mawla Amin’ yang dikatakan sebagai keturunan Nabi Muhammad yang ke-38. Bahkan di kalangan para pengikutnya di negara ini secara melampau menggelarkan dirinya sebagai ‘Imam Mahdi’ yang akan menjadi penyelamat umat Islam di muka bumi ini. Bukan itu sahaja, bahkan pengikut terbabit dikatakan bergiat aktif mengutip dana sumbangan orang ramai secara tidak sah bagi membiayai pertubuhan berkenaaan. Hal ini bertujuan mewujudkan kerajaan yang dikenali sebagai ‘Kerajaan 9’ yang dianggap sebagai tempat persiapan akhir zaman.

Jika ditelusuri modus operandi yang digunakan kebanyakan pengikut ajaran sesat yang difatwakan oleh pihak berkuasa agama negeri jelas mempunyai ciri-ciri sama dan sifat keadaan yang mampu mempengaruhi umat Islam dengan kaedah serta pendekatan sama. Masyarakat Islam mudah tertipu dengan penampilan berjubah dan berserban ditambah pula dengan dakwaan mempunyai salasilah keturunan Nabi Muhammad SAW sedangkan tiada bukti kukuh terhadap dakwaan terbabit. Ketaksuban pengikut yang mengangkat tokoh pimpinan mereka yang didakwa sebagai keturunan Rasulullah juga menjadi faktor pendorong kuat ajaran ini mudah diterima dalam kalangan umat Islam. Bagi pengikut yang taksub, kebanyakan mereka gagal menilai fakta dan inti pati ajaran agama berbanding dakwaan palsu dikaitkan dengan keturunan Nabi sehingga sanggup percaya secara membuta tuli. Bukankah Allah SWT telah memberi amaran di dalam surah al – Maidah, ayat 77 yang bermaksud:

‘Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang sesat sebelum ini serta menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka tersesat (jauh) dari jalan yang benar.'”

Justeru, sebagai Muslim yang bertanggungjawab mari sama-sama kita membantu membendung pengaruh dan dakyah ajaran sesat yang cuba dimanipulasi atas nama agama Islam demi kepentingan kelompok tertentu yang sudah tentu mencemarkan kesucian Islam. Jangan hanya kerana seseorang itu mempunyai raut wajah yang polos, berserban, berjubah dan mempunyai senyuman yang manis, maka kita terus mempercayai bahawa beliau adalah jalur keturunan Nabi Muhammad SAW. Itulah pentingnya kita mempelajari dan mengenali susur galur keturunan Rasulullah SAW melalui kajian dan pembacaan yang disediakan dan tidak sesekali mempercayai bulat- bulat apa yang dicanangkan.

Sumber: Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)