Isu penghinaan terhadap agama bukanlah perkara baharu, malah telah berlaku turun-temurun sejak dari zaman Rasulullah SAW hingga ke era moden kini, baik secara terang-terangan mahupun tersirat. Banyak sekali kita lihat pada hari ini video – video penistaan terhadap agama. Terdapat segelintir pihak cuba menormalisasikan penghinaan terhadap agama, Raja dan kaum (3R) atas tujuan tertentu. Tiga elemen ini sangat sensitif kerana ia mudah dan pantas boleh mencetuskan perbalahan dan permusuhan dalam masyarakat.
Perbuatan menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum seperti ini, jika tiada penyelesaian pantas dan tuntas, terutama daripada pihak berkuasa, akan membuka ruang untuk masyarakat menyemai bibit perpecahan serta menyumbang kepada konflik sesama ahli masyarakat. Persoalannya, bagaimana seharusnya umat Islam bertindak dalam menghadapi situasi sebegini tanpa mencetuskan ketegangan yang lebih besar?
Antara tindakan yang boleh diambil adalah bertenang dan tidak bertindak secara melulu. Bertenang bukanlah bermaksud berdiam diri tanpa berbuat apa-apa, sebaliknya umat Islam perlu menyiasat terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita sebelum bertindak. Setelah memastikan kesahihan sesuatu insiden, maka umat Islam disarankan untuk bertindak dengan penuh hikmah dan secara sistematik. Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula tanpa ilmu.” (QS Al – An’am: 108).
Selain itu, antara langkah lain yang boleh diambil adalah melaporkan kes penghinaan kepada pihak berkuasa dan tidak bertindak bersendirian. Hal ini kerana berdasarkan pemerhatian, tindakan undang-undang diambil selepas banyak laporan polis dibuat terhadap sesuatu kes. Adalah penting untuk umat Islam bersatu dan bertindak secara kolektif dalam membuat laporan agar isu ini dapat ditangani dengan lebih tegas.
Penghinaan terhadap agama jelas melanggar prinsip ini kerana ia mencetuskan ketidakharmonian dan kebencian antara penganut pelbagai agama. Malaysia adalah negara demokratik memberi kebebasan bersuara. Walaupun hak ini diakui dalam Perkara 10(1)(a) Perlembagaan, kebebasan bersuara tidak bersifat mutlak. Ia terhad dengan beberapa syarat, antaranya untuk menjaga ketenteraman awam dan moral.
Dalam hal ini, semua pihak perlu bersatu dengan teguh. Hal ini kerana ketiadaan kesatuan antara salah satu kelemahan umat Islam dalam isu berkenaan, apatah lagi perbezaan politik dan ideologi sering menjadi penghalang dalam menyatukan suara umat Islam. Sepatutnya, dalam perkara yang menyentuh agama, kita perlu melangkaui perbezaan politik dan bersatu dalam mempertahankan Islam seperti yang digariskan dalam surah al-Saff, ayat 4 di mana Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”
Oleh itu, hentikanlah perbuatan menormalisasikan penistaan terhadap agama selain bersatu menghentikan amalan tersebut. Malaysia sebuah negara yang majmuk dan harmoni di mana rakyatnya saling hidup bersatu padu dalam mengekalkan keharmonian di negara ini. Janganlah kita cemari dengan insiden – insiden penistaan terhadap agama dan teruslah bersatu menangani isu ini dengan lebih serius.
Sumber: Laman Web Dr. Zulkifli Mohamad Al – Bakri