Melihat kepada perkembangan ideologi-ideologi yang mengarut kononnya berpaksikan agama Islam yang benar, menunjukkan bahawa umat Islam tidak akan pernah sunyi dari anasir-anasir yang boleh memesongkan akidah. Oleh itu, umat Islam perlu diberikan pendedahan dan kefahaman yang jelas tentang apakah yang dikatakan ajaran sesat bagi memastikan akidah terpelihara dan tidak mudah terpengaruh oleh ideologi yang sesat.
Sesuatu ideologi yang dikatakan terpesong dari ajaran Islam sebenar apabila sesuatu ajaran, fahaman atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau bukan Islam yang didakwa sebagai ajaran Islam sedangkan hakikatnya bukan dari ajaran Islam, bahkan bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah, Ijmak dan Qiyas serta pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Menurut mufti Mesir, Syeikh Ali Jumuah, akidah ASWJ ialah golongan yang mengikuti pegangan Nabi SAW atau mengikuti jalan hidup Baginda SAW, dan jamaah para Sahabat terutamanya para khulafa al-Rasyidin mengenai akidah, syariah dan akhlak yang dibawa semenjak zaman Nabi SAW serta para Sahabat baginda.
Justeru itu, umat Islam perlulah mengambil cakna dalam mengenali ciri-ciri ajaran sesat supaya tidak mudah terpedaya, dipujuk rayu oleh pemimpin dan pengikut ajaran sesat yang memungkin terjebak ke dalam lautan neraka kesyirikan. Maka perlu ada satu mekanisme yang tuntas dalam menyelesaikan isu ajaran sesat ini demi memelihara akidah umat Islam.
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor