Home santapan minda/kerohanian AKHIR ZAMAN FITNAH SEMAKIN BERMAHARAJALELA. BERHATI – HATILAH!!

AKHIR ZAMAN FITNAH SEMAKIN BERMAHARAJALELA. BERHATI – HATILAH!!

500
0

AKHIR ZAMAN FITNAH SEMAKIN BERMAHARAJALELA. BERHATI-HATILAH!!

Akhir zaman kini menjadi semakin lebih menakutkan. Manakan tidak, timbulnya pelbagai fitnah yang boleh dikatakan terjadi di luar norma pemikiran manusia. Sesuatu perkara yang tidak terjangka bermulanya daripada sebentuk cerita yang direka lalu disebarkan kemudian menjadi bualan umum sehingga menjatuhkan maruah dan perasaan seseorang. Rasulullah S.A.W bersabda:

“Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (HR Bukhari dan Muslim).

Hari ini, fitnah boleh sahaja merebak dengan pantasnya dek kerana kewujudan teknologi internet tanpa sempadan. Pelbagai faktor yang mendorong berlakunya fitnah di media sosial. Antara faktor utama ialah dorongan sifat tamak, iri hati dan mementingkan diri sendiri. Individu yang menyebarkan fitnah menyebarkan cerita yang tidak benar tentang individu yang dibencinya bagi menjatuhkan individu tersebut dan terlalu mengikut perasaannya. Lebih-lebih lagi penggunaan media sosial tanpa had dan sempadan yang mudah diakses melalui gajet atau telefon pintar. Disebabkan terlalu mudah diakses, maka mereka mudah menyuarakan pendapat dan pandangan sesuka hati.

Selain itu, faktor lain yang menyumbang kepada permasalahan ini ialah kurangnya kesedaran mengenai kesan menyebarkan fitnah atau berbaur hasutan khususnya golongan yang tidak berfikir secara matang dan tidak rasional. Mereka perlu menyedari bahawa dalam apa jua agama melarang perbuatan fitnah dan hasutan. Mereka yang menyebarkan fitnah bermaksud mereka yang tidak patuh kepada ajaran agama masing-masing.

Apa yang perlu kita lakukan sekiranya kita berada di tengah-tengah tegangnya situasi fitnah? Menurut Imam Adz-Dzahaby Rahimahullaah, jika terjadi fitnah (pertikaian, huru-hara, haq & batil menjadi samar), maka:

  • Berpegang teguhlah pada sunnah dengan erat.
  • Perbanyaklah sikap diam.
  • Jangan menceburkan dirimu pada sesuatu yang bukan urusanmu.
  • Perkara yang tidak jelas bagimu kembalikanlah kepada Allah dan Rasulnya.
  • Berhentilah (padanya) dan katakanlah “Allaahu a’lam” (Allah yang lebih mengetahui).

Maka dari itu, berhati-hatilah dengan keadaan pada hari ini. Kita tidak tahu bila dan di mana fitnah itu akan menimpa ke atas diri kita. Kita perlu sentiasa memantapkan keimanan dan keteguhan hati dengan ajaran Islam melalui amalan yang kukuh, kekuatan iman, serta kesungguhan dalam mengamalkan nilai-nilai agama. Peliharalah hubungan dengan Allah serta dalam masa yang sama mempereratkan jalinan ukhuwah Islamiah sebagai jaminan perlindungan dari ancaman fitnah akhir zaman.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)