Home Kemanusiaan/Motivasi WAHAI KAUM MUSLIM – BERDANDANLAH SESUAI MENGIKUT SYARAK AGAMA DAN BUKAN DISEBABKAN...

WAHAI KAUM MUSLIM – BERDANDANLAH SESUAI MENGIKUT SYARAK AGAMA DAN BUKAN DISEBABKAN PEREDARAN ZAMAN

70
0

Sudah menjadi lumrah dan fitrah baik wanita mahupun lelaki untuk kelihatan cantik dan bergaya dalam mengenakan pakaian yang sesuai mengikut peredaran zaman. Akan tetapi, dalam meniti arus peredaran zaman di dalam pemakaian kita lupa bahawa ia harus selari dengan syarak yang telah ditetapkan di dalam agama Islam. Apa yang meyedihkan, jika dilihat pemakaian golongan Muslim pada hari ini sangat menjolok mata dan tersasar luar dari syarak yang ditetapkan.

Segelintir masyarakat Islam dilihat terikut-ikut cara atau ‘trend’ pemakaian dan penampilan daripada budaya luar sehingga menjadikan pemikiran diracuni bahawa pemakaian dan penampilan dalam Islam adalah kolot dan tidak sesuai seolah-olah Islam agama yang tidak mengikut peredaran masa. Melalui doktrinisasi bahawa pemakaian dan penampilan Islam adalah kolot dan pada masa yang sama sifat semula jadi manusia inginkan pembaharuan, maka berlaku krisis identiti dalam diri masyarakat Islam sehingga terpengaruh dengan budaya pemakaian dan penampilan luar.

Secara prinsip, Islam tidak menafikan atau menolak sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kekemasan dan kecantikan. Bahkan Islam sangat menitik beratkan perkara agar dilakukan dengan kemas, teliti, cantik, elok dan sebagainya. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah menyukai untuk melihat kesan nikmat-Nya ada pada hamba-Nya.” (HR At – Tirmidzi).

Islam mengiktiraf kreativiti dan inovasi dalam pemakaian dan terserah kepada individu mengikut kesesuaian tempat dan masa selagi tidak melanggar batasan syarak. Sebagaimana firman Allah SWT:

“Wahai anak cucu Adam, sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk menutup auratmu dan perhiasan bagi kamu tetapi pakaian takwa itulah yang terbaik. Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah semoga mereka beringat.” (QS Al-A’raf: 26).

Daripada ayat diatas, kita perlu fahami bahawa pemakaian yang menggambarkan ketakwaan ialah pemakaian yang mengikut cara Islam yang menutupi aurat, tidak mengundang fitnah dan mampu menjaga tubuh badan daripada sebarang kebinasaan.

Oleh itu, berdandanlah yang sesuai mengikut sesuai yang ditetapkan oleh syarak agama dan bukannya kerana mengikuti peredaran zaman. Allah SWT telah memberi peringatan kepada setiap hambaNya tentang tatacara berpakaian mengikut yang dianjurkan Islam. Jauhilah pemakaian yang boleh menimbulkan fitnah dan menjolok mata masyarakat. Hargailah harga diri kita sebagai umat Islam.

Sumber: Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)