Perpaduan di antara umat Islam seantero dunia adalah satu kekuatan yang menjadi kekhuatiran kepada bangsa Eropah dan menggerunkan penganut Kristian. Lihat sahaja setiap kali musim haji atau umrah, seluruh umat Islam akan berkumpul di tanah haram serta mengerjakan amalan-amalan ibadah pada waktu yang sama dan perbuatan yang sama seperti solat, tawaf, saie, bermalam di Muzdalifah dan sebagainya. Kelompok yang besar dan perbuatan mengabdikan diri pada yang Maha Esa adalah melambangkan integrasi antara umat Islam sangat kuat dan sukar untuk diruntuhkan.
Maka gerakan Kristianisasi wujud atas dasar untuk menggagalkan gagasan kesatuan Islam ini dengan memecah-belahkan umat Islam sehingga mereka kekal tidak bernilai dan tidak berpengaruh. Menurut paderi Lawrence Brown, “Apabila umat Islam bersatu dalam sebuah kerajaan Arab, mereka akan menjadi kuasa yang paling berbahaya di dunia dan menjadi penghalang yang paling kukuh terhadap perjalanan Kristianisasi.
Sebagai contoh salah satu cara penyebaran ideologi Kristian yang dilakukan oleh gerakan Kristianisasi ini ialah melalui pendidikan. Mereka mengerahkan segala tenaga dan keupayaan untuk menjadikan pendidikan sebagai cara penyebaran ajaran Kristian yang berkesan. Bagi mencapai matlamat tersebut, mereka mendirikan sekolah, kolej, universiti, sekolah menengah, pusat asuhan, taman kanak-kanak dan sekolah-sekolah khas.
Semenjak 150 tahun yang lalu, mereka menyebarkan tidak kurang dari 100 juta naskah Kitab suci Kristian iaitu Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru yang telah diterjemahkan ke dalam 130 bahasa termasuklah Bahasa Melayu bagi tujuan Kristianisasi. Di bidang pendidikan ini golongan orientalis dan Kristianisasi bekerjasama untuk mencapai tujuan bersama mereka. Oleh sebab itu, kini tidak hairan jika kita melihat mereka yang beragama Islam di dalam kad pengenalan, namun cara kehidupan dan cara berfikiran tidak melambangkan Islam malah bangga dengan kehidupan ‘kebaratan’ yang ditunjukkan. Apakah tanda itu?
Sumber: Ensaiklopedia Gerakan Keagamaan dan Pemikiran