Home Kemanusiaan/Motivasi 11 JUTA RAKYAT MALAYSIA MENGALAMI MASALAH KEGEMUKAN YANG MELAMPAUMENJAGA KESIHATAN ITU SEBAHAGIAN...

11 JUTA RAKYAT MALAYSIA MENGALAMI MASALAH KEGEMUKAN YANG MELAMPAUMENJAGA KESIHATAN ITU SEBAHAGIAN DARIPADA TUNTUTAN AGAMA ISLAM

120
0

Memetik laporan akhbar oleh Sinar Harian bertarikh 4 Jun 2024 (semalam) menyatakan bahawa Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan sebanyak 54.4 peratus atau kira – kira 11 juta orang rakyat dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan. Lebih membimbangkan, rekod itu meningkat tiga peratus berbanding 50.1 peratus pada 2019.

Selain itu, laporan NHMS 2023 juga merekodkan trend berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan dewasa di Malaysia meningkat 10 peratus antara 2011 hingga 2023. Satu angka yang sangat menakutkan, namun masih terdapat ramai di kalangan rakyat Malaysia yang tidak menyedari hakikat itu. Apabila diri mula diserang pelbagai penyakit, mulalah menyesali perbuatan lalu yang langsung tidak mahu menjaga pemakanan. Perlu kita sedari khususnya buat umat Islam, kesihatan yang diberikan oleh Allah SWT merupakan nikmat yang wajib disyukuri.

Secara asas, menjaga kesihatan adalah tanggungjawab manusia atas amanah Allah SWT ke atas diri mereka. Tubuh badan dan anggota serta kesihatan yang diberikan oleh Allah SWT adalah wajib dijaga, dipelihara dan dilarang dari sakiti ke atasnya. Sebab itu, apa sahaja tindakan menzalimi, menganiayai dan memudaratkan adalah diharamkan di dalam Islam. Bahkan, Rasulullah SAW juga memperingatkan bahawa antara nikmat yang seringkali ditewaskan atau diabaikan oleh manusia ialah nikmat sihat dan masa lapang. Iaitu ketika manusia memiliki nikmat ini, disia-siakan tanpa dilakukan amalan yang sebaiknya. Sabda Baginda:

“Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.” (HR Bukhari).

Oleh itu, jagalah kesihatan yang dikurniakan oleh Allah SWT sementara masih sihat dan bertenaga. Ini kerana jika tubuh sudah mulai sakit dan mengalami kerosakan di beberapa bahagian, maka akan hilanglah segala nikmat untuk beramal ibadah dan melakukan kebaikan. Barang siapa menjaga badan daripada penyakit, maka ia mendapat balasan pahala daripada Allah SWT kerana telah memberikan hak badannya kepada diri mereka sendiri.

Sumber: Laporan Berita Sinar Harian, 4 Jun 2024