Home Kemanusiaan/Motivasi ISU JEMAAH HAJI TERKANDASWASPADA DENGAN SINDIKET PAKEJ YANG MERAGUKAN

ISU JEMAAH HAJI TERKANDASWASPADA DENGAN SINDIKET PAKEJ YANG MERAGUKAN

121
0

Saban tahun sudah pasti kita akan terdengar laporan berita mengenai jemaah haji yang terkandas di kota Makkah ataupun Madinah dek kerana masalah visa haji yang dikelolakan oleh agensi – agensi swasta. Seperti yang terjadi baru – baru ini apabila sepasang suami isteri yang terkandas di Makkah kerana tidak mempunyai visa haji dan dipercayai gagal disediakan oleh agensi pelancongan yang dibayar.

Lebih malang lagi, pasport keduanya ‘ditahan’ oleh agensi pelancongan berkenaan apabila mereka menyatakan hasrat untuk menarik diri dari mengerjakan ibadah haji setelah visa haji yang dijanjikan tidak diberi. Akibatnya, mereka terpaksa hidup bak pelarian kerana khuatir ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Seperti yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, pihak kerajaan selalu mengingatkan saban tahun bahawa visa haji hanya dikeluarkan oleh dua pihak sahaja iaitu Tabung Haji dan juga visa khas yang dikeluarkan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur. Selain daripada dua pihak itu, jangan terpedaya dengan pihak yang mendakwa boleh mengeluarkan visa haji dan kerajaan Arab Saudi sudah memberi amaran akan mengambil tindakan berat iaitu denda sebanyak 10,000 riyal (RM12,510) selain dilarang memasuki Arab Saudi selama 10 tahun jika ada yang melanggar arahan itu.

Artikel tidak berniat untuk menyalahkan mana – mana pihak di dalam isu ini. Akan tetapi perlulah berwaspada dengan sindiket – sindiket seperti ini yang mencari keuntungan dan menyasarkan golongan warga emas untuk menjalankan aktiviti penipuan mereka. Walaupun pihak kerajaan dan Tabung Haji masih lagi mencari penyelesaian dalam membanteras sindiket ini, tetapi buat pihak yang ingin mengerjakan haji dan waris harus juga cakna dengan perkara ini. Buatlah kaji selidik atau terus sahaja ke pejabat urusan Tabung Haji yang berdekatan untuk pertanyaan.

Ingat, jangan kerana ghairah untuk mengerjakan ibadah, akhirnya mendatangkan sakit kepada diri sendiri dan keluarga. Ikut lah pada saluran yang betul dalam mengerjakan ibadah haji dan jangan sesekali terpedaya dengan agensi – agensi pelancongan yang menawarkan pakej yang menarik tetapi meragukan.

Sumber: Artikel Harian Metro, 30 Mei 2024