Pada hari ini terdapat banyak kekeliruan di kalangan umat Islam tentang pengertian jihad. Kekeliruan pertama ialah tentang makna jihad itu sendiri yang sering dimengertikan sebagai peperangan mengangkat senjata yang membawa kepada pertumpahan darah dan pembunuhan. Yang kedua ialah tentang golongan yang menjadi sasaran jihad atau golongan yang harus diperangi itu.
Peperangan yang dikatakan perang jihad ini sebenarnya tidak menepati makna jihad yang dimaksudkan dalam agama, dan sasaran yang diperangi itu juga bukanlah merupakan sasaran jihad yang sebenarnya seperti yang dituntut oleh agama. Oleh itu perkara pertama yang seharusnya difahami tentang pengertian jihad ini ialah maksud dan tuntutan jihad serta siapakah atau apakah objek yang seharusnya diperangi dalam menegakkan jihad ini menurut ajaran agama Islam yang suci.
Walau bagaimanapun, sesuatu peperangan dibolehkan didalam Islam adalah perang bagi mempertahankan diri, agama dan negara apabila mendapat arahan daripada pemimpin negara dan bukannya berjihad di luar negara dengan alasan ingin membentuk kerajaan Islam. Dalam erti kata lain, peperangan ini adalah ikhtiar terakhir.
Namun, sekiranya ada ruang untuk berdamai, maka perkara itu harus diutamakan. Ini kerana Islam mengharamkan tindakan melampau terhadap musuh yang telah terbunuh dan senjata pemusnah serta diwajibkan juga melayan tawanan dengan baik. Islam juga menggalakkan perdamaian diutamakan dahulu dan menerimanya walaupun sedang berperang, kerana firman Allah:
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (QS Al-Anfaal: 61)
Justeru, satu kefahaman betul perlu diterapkan oleh semua pihak khasnya ulama, pendakwah dan asatizah terhadap penggunaan istilah jihad supaya tidak disalahertikan sebagai punca keganasan. Konsep jihad sangat luas dan terjemahan literalnya bererti kesungguhan. Di samping itu, Ibu bapa juga harus mempersiapkan diri dengan ilmu jika mahu bersaing dengan anak yang terdedah dengan ‘kebanjiran maklumat’. Kawalan tertentu boleh dibuat, tetapi masalah sebenar adalah kejahilan, kekeliruan dan salah faham.
Pengertian jihad inilah yang seharusnya difahami dan direalisasikan oleh angkatan umat Islam kini, terutamanya dalam menghadapi arus globalisasi dan penindasan baru yang amat kuat melanda masyarakat dan negara-negara Islam sekarang. Kita kini seolah-olah berada pada pusingan pertama ketika baginda Rasulullah s.a.w memulakan perjuangan di Mekah, iaitu yang menuntut jihad untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan, jihad untuk menghapuskan kemunduran dan kemiskinan, jihad untuk mendidik dan mengajar umat supaya menjadi umat yang dinamik, kuat mental dan fizikalnya.
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Berita Harian “Tangani salah faham jihad elak generasi muda tersesat” (17 Mac 2015)