Hizbut Tahrir adalah sebuah pergerakan yang bertujuan untuk menegakkan sebuah negara yang berdasarkan sistem Khilafah Islamiyah dengan menolak sistem demokrasi dan anti Barat. Walaupun di kebanyakan negeri sudah diwartakan pengharaman pergerakan tersebut, namun mereka tetap mencari alternatif lain dengan menyebarkan fahamannya melalui online mahupun offline.
Salah satu saluran media online yang digunakan untuk menyebarkan fahamannya adalah melalui media sosial terutamanya Instagram, dengan bentuk dakwah yang kreatif sehingga mereka berjaya mempengaruhi pemikiran orang ramai dan mampu merekrut pengikut yang ramai terutamanya di kalangan anak muda dan golongan cendiakawan yang banyak terdedah kepada penggunaan media sosial yang disampaikan oleh mereka dengan lebih menarik.
Antara contoh yang boleh dilihat adalah seperti dalam akaun Felix Siauw yang memberikan warna baru terhadap penyampaian mesej Hizbut Tahrir yang kaku sebelum ini. Dalam Instragram Felix Siauw tersebut, bentuk dakwah mereka ditransformasi dengan dakwah yang lebih kreatif yang menyampaikan pesanan dakwah yang berkaitan secara langsung dengan remaja seperti pesanan mengenai pacaran dan hijab dan lain-lain isu remaja yang boleh menarik perhatian. Selain melalui akaun sosial media tersebut, sebaran ideologi Hizbut Tahrir juga dibuat melalui buku-buku penulisanya yang sarat dengan ideologi Hizbut Tahrir seperti ‘Udah Putusin Aja, Khilafah Remake, Art of Dakwah dan sebagainya. Bahkan buku-bukunya tersebut juga boleh diakses dengan mudah melalui media sosial yang ada.
Kemunculan media baru ini telah merubah autoriti keagamaan tradisional seperti guru agama dan ulama kepada autoriti media baru dan autoriti media sosial ini adalah seperti ‘ulama baru’ yang kebanyakannya muncul daripada media sosial ketika ini. Hal ini yang telah diambil kesempatan oleh Hizbut Tahrir untuk menyebarkan ideologinya khususnya melalui Instagram yang menjadi media popular di kalangan generasi muda dan golongan professional masa kini.
Felix Siauw sebagai ‘ulama baru’ adalah anggota Hizbut Tahrir yang aktif berdakwah melalui sosial media dan mempunyai banyak pengikut di Instagram seramai 4.7 juta. Konsep dakwah kreatif dan menampilkan potongan video pendek yang menarik telah menarik minat kebanyakan anak muda.
Konsep ‘Islam Transnasional’ yang didukung oleh Hizbut Tahrir ini seharusnya diambil perhatian kerana ia mampu menjatuhkan sesebuah penguasaan atau kerajaan secara total dan cenderung ke arah mengangkat senjata. Keharmonian negara akan direntap, perbalahan antara umat Islam sendiri akan berlaku dan seterusnya menggugat keselamatan negara. Oleh sebab itu, adalah sangat relevan fatwa di kebanyakan negeri telah mengharamkan pergerakan Hizbut Tahrir ini.
Sumber: Jurnal Aqlam, Journal of Islam and Plurality, Vol. 4(1), Jun 2019.