Saban tahun, Tabung Haji (TH) akan mendapatkan penghargaan dan pengiktirafan oleh kerajaan Arab Saudi kerana pengurusan dan hospitalitinya yang terbaik dalam memudahkan urusan jemaah haji dari negara ini. Pengurusan yang bermula dari segi pendaftaran penyediaan prasarana, pekhidmatan Kesihatan hinggalah bangunan penginapan jemaah dan perkhidmatan maktab disifatkan sebagai mudah dan bersistematik.
Ini seperti yang dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Hj Mokhtar bahawa kerajaan Arab Saudi mengiktiraf TH dalam Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan yang disediakan oleh Pejabat Urusan Haji. Ini kerana sistem dan kecekapan pengurusan jemaah haji Malaysia sentiasa diiktiraf sebagai model terbaik di dunia dan merupakan model pengurusan haji yang sering dicontohi oleh masyarakat antarabangsa.
Sebenarnya apa yang dilakukan oleh para petugas haji TH ini boleh dikira sebagai satu jihad dalam memudahkan urusan orang lain. Cuba kita lihat di video – video yang dimuatnaik di platform media sosial TH ataupun orang perseorangan memperlihatkan bagaimana para petugas TH sangat membantu para jemaah haji dalam memudahkan urusan mereka baik dari segi pengurusan mahupun kesihatan. Bukan itu sahaja, malah dari segi penyimpanan dan pengurusan kewangan jemaah di TH juga dianggap sebagai satu jihad dalam memudahkan urusan orang lain.
Maka tidak hairanlah jika kerajaan Arab Saudi memberi pengiktirafan ini kepada TH kerana pengurusannya yang serba serbi lengkap, teratur dan sistematik. Malah, dek kerana kecekapan pengurusannya, TH menjadi model contoh bagi pengurusan badan haji dari Thailand untuk mempelajarinya. Menurut Ketua Rombongan Haji Thailand yang juga Ketua Majlis Agama Yala, Abdul Baziz Chema, sudah menjadi kewajipan bagi badan itu untuk mempelajari sistem pengurusan haji yang lebih efektif daripada TH.
Begitulah pentingnya peranan TH dan pengurusannya. Secara tidak sedar, dalam kepayahan mereka menguruskan seribu satu ragam jemaah haji, mereka diiktiraf, dipuji dan dijadikan contoh oleh negara dunia lain dalam menguruskan pentadbiran haji. Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik – baik manusia adalah manusia yang memberikan manfaat.” (HR Ahmad).
Bahkan, dalam sebuah riwayat berbunyi:
“Kebaikkan tidak akan pudar, dosa tidak akan dilupa, al-Dayyan(Allah yang Maha Membalas segala amalan hambanya) tidak akan mati, jadilah sepertimana yang kamu ingin, kamu akan dibalas seperti mana yang kamu telah lakukan.” (Riwayat Abdul Razaq dalam Musannafnya).
Syabas dan tahniah kepada pengurusan TH kerana memberikan perkhidmatan yang terbaik buat para jemaah Malaysia dan juga menjadi role model terbaik buat negara – negara dunia dalam pengurusan haji.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan