Sejak kebelakangan ini, orang Islam kelihatan semakin lemah dan longlai dari pelbagai aspek kehidupan dalam arus perkembangan negara masa kini. Dahulu rakyat Malaysia dikategorikan sebagai penduduk yang kuat dari segi perpaduan. Namun, keadaan hari ini tidak seperti yang dibayangkan sebelumnya apabila diancam pandemik COVID-19. Lebih malang, apabila negara kini berhadapan dengan ancaman krisis politik dan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mula memainkan berbagai isu politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan umat Islam yang dibina teguh sebelum ini.
Hal inilah yang menyebabkan suasana hari ini menjadi tidak harmoni dan umat Islam berada dalam keadaan berpecah belah terutamanya apabila ada segelintir pihak yang sudah mula memasang strategi politik untuk mengalahkan ‘lawan’ mereka demi kepentingan peribadi masing-masing. Mengapa hal sedemikian berlaku? Kerana perpecahan, perbalahan dan permusuhan sesama sendiri malah mereka menganggap lawan politik mereka adalah musuh yang perlu ditentang dan dimusnahkan. Akhirnya semangat perpaduan menjadi semakin luntur. Sedangkan perpaduan dalam kalangan orang Islam amat penting dan mesti dipelihara demi membina kekuatan dan masa depan umat Islam itu sendiri.
Firman Allah SWT:
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.” (QS Al-Anfal: 46)
Oleh itu, umat Islam diseru supaya mengukuhkan perpaduan dan mengelakkan perpecahan dalam kalangan masyarakat walaupun terdapat perbezaan fahaman politik di kalangan mereka. Masyarakat perlu bijak dalam menilai situasi politik dan tidak mudah terpengaruh dengan agenda politik sesetengah individu yang sememangnya tidak sihat. Islam sentiasa menyeru umatnya agar bersikap jujur dan ikhlas serta mempunyai sifat berbaik sangka, tolong-menolong, bersatu-padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia untuk memaafkan antara satu sama lain. Sebaliknya nilai-nilai mulia ini hendaklah dihayati kerana ia diumpamakan seperti anggota tubuh badan kita saling memerlukan antara sesama anggota badan yang lain.
Sabda Rasulullah SAW:
“Kamu dapati orang-orang mukmin dalam berkasih sayang, bermesra dan berbaik-baik sesama mereka sama seperti tubuh badan, apabila mengadu sakit salah satu anggota badan, maka seluruh anggota badan yang lain akan berjaga malam dan turut merasai sakit yang sama.” (HR al-Bukhari)
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)