Umum mengetahui bahawa fitrah setiap manusia sama ada lelaki mahupun wanita ingin kelihatan cantik dan sempurna di mata orang ramai. Namun apa yang menyedihkan adalah pada hari ini ramai sekali dari kita yang mahukan kelainan tetapi lupa ia sudah pun melanggar batas dan syariat agama. Masyarakat hari ini lebih memilih kelainan yang luar biasa dalam berfesyen hingga menormalisasikan pertukaran identiti demi kehendak dan nafsu sendiri.
Pada hari ini kita dapat melihat bagaimana pakaian yang seharusnya dikhususkan untuk wanita tetapi diguna pakai oleh seorang lelaki dan bagaimana pakaian yang dikhususkan untuk lelaki dipakai oleh seorang wanita. Walaupun ia sekadar ‘content’ di media sosial, akan tetapi matlamat tidak menghalalkan cara. Jika kita lihat di media sosial, para pembuat ‘content’ seakan berbangga dapat mempamerkan dosa mereka dalam meniru gaya seseorang. Sebagai contoh, lelaki memakai skirt dan memperagakan aksesori wanita seperti beg tangan, gelang dan anting – anting. Tidak takut kah kita dengan azab Allah SWT? bahkan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Allah melaknat laki-laki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai laki-laki.” (HR Bukhari).
Perlu difahami perkataan laknat yang disebutkan di dalam hadis ini mempunyai makna dan impak yang sangat besar bagi mereka yang memikirkan ancaman daripada Baginda Rasulullah SAW. Kata para alim ulama perkataan laknat seperti di dalam hadis ini bererti jauh daripada kerahmatan Allah SWT, jauh daripada kemuliaan dan keampunanNya.
Ketahuilah, Allah SWT tidak melarang sesuatu perkara itu tanpa sebabnya. Dengan larangan sebegini, kita akan dapat lihat hikmah seperti:
- Menjauhi akhlak yang tidak baik kerana wanita mempunyai sifat semula jadi dan begitu juga bagi lelaki mempunyai identiti yang berbeza dari wanita.
- Supaya tidak ada di dalam diri sifat menyalahkan takdir Allah SWT dan kenapa Allah SWT jadikan mereka lelaki atau wanita serta tidak meredai dengan ciptaan Allah SWT.
- Tidak mengelirukan masyarakat dengan pakaian mereka seperti seorang lelaki berpakaian wanita. Apabila mereka menggunakan tandas wanita maka ia akan menyebabkan perkara yang tidak diingini akan berlaku.
- Agar tidak mengikut kaum Nabi Luth yang mana lelaki menyukai lelaki dan perempuan menyukai perempuan. Maka Islam mencegahnya dari awal lagi.
Perlu kita ketahui bahawa dunia ini hanya sementara dan akhirat kekal selama-lamanya. Dek kerana memenuhi kehendak nafsu sendiri, maka ada dalam kalangan kita yang sanggup melanggar batasan syarak dengan berkelakuan dan berpakaian wanita walaupun dalam keadaan yang berpura – pura.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan