Home Kemanusiaan/Motivasi PUASA BUKAN HANYA SEKADAR IBADAH TETAPI JUGA SEBAHAGIAN DARIPADA PENJAGAAN KESIHATAN

PUASA BUKAN HANYA SEKADAR IBADAH TETAPI JUGA SEBAHAGIAN DARIPADA PENJAGAAN KESIHATAN

71
0

Bulan Ramadan merupakan bulan yang mulia bagi semua umat Islam. Kehadirannya sering dinanti-nantikan kerana pada bulan ini ganjaran pahala berganda-ganda untuk setiap amalan termasuklah berpuasa sebulan. Berpuasa dari sudut kesihatan sememangnya memberi manfaat. Kesihatan merupakan modal utama untuk bekerja, beribadah dan melaksanakan aktiviti lain. Bulan Ramadan banyak mendatangkan kebaikan dunia dan akhirat terutama jika diamalkan dengan sempurna dan penuh keinsafan.

Di samping itu, puasa adalah penawar kerana ia boleh merangsang perubahan dalam metabolisme badan dan membantu ke arah kebaikan dalam badan. Ketika berpuasa, organ-organ dalam badan dapat membuang segala kotoran dan toksin. Terdapat beberapa kebaikan berpuasa terhadap kesihatan:

1) Mengawal dan mencegah penyakit. Berpuasa terbukti dapat mengurangkan rintangan insulin. Justeru ianya dapat menambah baik fungsi insulin supaya lebih peka dan berkesan dalam mengendalikan kandungan gula dalam darah. Malah dalam kajian yang dilakukan oleh London Ramadhan, ibadah berpuasa juga dapat mengurangkan bacaan tekanan darah sebanyak 3 hingga 7 mmHg.

2) Menurunkan berat badan. Penurunan berat badan ketika berpuasa ini jelas lebih ketara bagi mereka yang mengalami masalah kegemukan dan berlebihan berat badan, berbanding mereka yang sudah tersedia kurus.

3) Meningkatkan tahap metabolisme badan. Kajian menunjukkan ibadah puasa yang disertakan dengan ibadah solat tarawih mampu meningkatkan tahap metabolisma badan sebanyak 2.1%. Penemuan ini sejajar dengan peningkatan jisim otot dan penurunan lemak di dalam badan.

4) Mengurangkan risiko kematian awal dan mencegah kanser. Ini berkait rapat dengan kurangnya keradangan di dalam badan, pengurangan kecederaan sel dan penurunan sel-sel inflammasi. Ianya juga dibantu oleh pengurangan risiko rintangan insulin, penurunan tekanan darah, gula, kolesterol dan berat badan. Ini juga dapat mencegah kewujudan sel kanser dan meningkatkan kesembuhan pesakit yang mendapatkan rawatan kanser.

5) Mencegah nyanyuk. Kajian menunjukkan amalan berpuasa berserta amalan keagamaan yang lain seperti solat berjemaah dan membaca Al-Quran mampu mengurangkan risiko mendapat kemerosotan kognitif dan meningkatkan kualiti hidup. Berpuasa juga mampu menigkatkan pengaliran darah dan memperbaiki sistem saraf. Ini secara tidak langsung mengekalkan fungsi otak yang baik.

6) Mengurangkan risiko pedih ulu hati. Kajian menunjukkan mereka yang berpuasa dapat mengurangkan gejala “gastro-esophageal reflux disease” atau pedih ulu hati berbanding mereka yang tidak berpuasa. Ini kerana ketika berbuka puasa, masyarakat cenderung untuk berbuka pada awal waktu berbanding lewat malam. Selepas berbuka, mereka kemudiannya sibuk melakukan solat fardhu dan solat tarawih.

Oleh itu, janganlah hanya sekadar memandang puasa itu adalah ibadah yang wajib dilakukan semata – mata, tetapi pandanglah ia daripada sudut Kesihatan kita. Rasulullah SAW bersabda:

“Khabarkanlah kepada kaummu bahawa tiada seorang hamba yang berpuasa sehari semata-mata kerana-Ku kecuali Aku sihatkan tubuh badannya dan Aku besarkan ganjarannya.” (HR Baihaqi).

Hal ini diperkuatkan lagi dengan hadis yang lain, sabda Rasulullah SAW:

“Berpuasalah kamu nescaya kamu sihat.” (HR Ahmad)

Sumber: Laman Web Dr. Zulkifli Mohamad Al – Bakri