Home kedaulatan sabah BERSATU MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN SABAH

BERSATU MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN SABAH

1527
0

Isu tuntutan Filipina terhadap Sabah timbul semula apabila Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina baru-baru ini dilapor membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) dan Sabah dalam pasport negara itu. Tindakan itu dianggap sebagai satu bentuk provokasi Manila berhubung tuntutannya terhadap Sabah. Turut tular peta Sabah tertera bendera Filipina yang dikatakan sebagai wilayah ke-14 negara itu dengan nama setiap kawasan disebut dalam bahasa Filipina.

Kemudian, ada beberapa pemilik akaun facebook yang memuat naik status kapal perang kerajaan Filipina sudah berada di perairan Sabah yang bersiap siaga untuk menyerang Sabah. Ia merupakan propaganda yang dilakukan oleh individu yang tidak bertanggung jawab (dipercayai dari individu yang menyokong kumpulan pengganas Sulu, di Selatan Filipina) dengan memuatkan berita palsu dan cuba menakut-nakutkan kerajaan Malaysia khususnya rakyat Sabah kononnya keadaan sekarang tidak terkawal dan kritikal.

Perkara ini merupakan perkara yang dipandang serius oleh pihak kerajaan kerana sebarang tuntutan terhadap Sabah atau cubaan memainkan isu tentang Sabah bukan milik Malaysia adalah isu yang mencabar kedaulatan negara. Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kerajaan tidak akan tunduk terhadap sebarang tuntutan untuk membawa keluar Sabah dari Malaysia. Menurut PM, kerajaan tidak akan kompromi soal kedaulatan. Sabah adalah sebahagian dari Malaysia dan akan tetap kekal dalam Malaysia. Malah beliau memberi amaran supaya jangan ada usaha untuk menarik Sabah keluar dari Malaysia dan jangan ada usaha orang lain menuntut Sabah untuk menjadikan sebahagian daripada wilayah mereka. Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan akan terus menjaga sempadan Sabah supaya tiada isu pencerobohan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Dalam kenyataan yang lain, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Hishamuddin Hussein juga mengeluarkan kenyataan yang tegas bahawa kerajaan Malaysia tidak akan melayan atau mengiktiraf sebarang tuntutan pihak asing ke atas Sabah. Kedudukan Sabah dalam Malaysia tidak boleh dipertikaikan dan akan terus dipertahankan sampai bila-bila.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Malaysia tidak akan berunding dengan sesiapa sahaja mengenai keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah kerana negeri Sabah tidak melibatkan isu tuntutan bertindih seperti beberapa pulau sebelum ini. Malah beliau memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu yang cuba menakut-nakutkan rakyat Sabah dalam isu keselamatan. Ini kerana badan keselamatan dan pertahanan negara sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi mempertahankan kedaulatan negeri Sabah.

Oleh itu, semua rakyat di negara ini mesti bersatu untuk mempertahankan kedaulatan Sabah. Kita juga perlu mempamerkan bahawa rakyat Malaysia teguh bersatu sebagai sebuah negara berdaulat. Keunikan negara ini yang terdiri daripada Melayu, Cina, India dan Bumiputera Sabah dan Sarawak adalah satu masyarakat yang harmoni dan saling memerlukan antara satu sama lain. Rakyat juga boleh memainkan peranan dengan membawa isu ini ke media sosial dan mempamerkan kesatuan suara rakyat terhadap kepentingan Sabah. Biar masyarakat dunia melihat bahawa semua rakyat bersatu teguh demi mempertahankan negeri ini daripada diganggu gugat dan provokasi politik serta anasir jahat kumpulan tertentu.

Sumber: Kerajaan Pertahan Kedaulatan Sabah-PM, Berita Harian, 29 Ogos 2020.

Berita TV 9, ‘Tiada Kompromi Tuntutan Isu Sabah’, 18 September 2020.