Perasaan hasad dengki merupakan satu sifat yang terlarang dalam Islam. Bahkan, Rasulullah SAW sendiri telah menyeru kepada umat Baginda agar menjauhi sifat dengki ini.
Sabda Rasulullah SAW:
“Hendaklah kalian menjauhi sifat hasad dengki, kerana ia menghapuskan kebaikan, sepertimana api menghanguskan kayu.” (HR Abu Daud).
Agama Islam datang dengan membawa mesej kehidupan yang harmoni dengan gaya hidup yang saling mesra sesama Mukmin dan umat lain. Intipati pengajaran Islam yang dibawa oleh Nabi SAW tidak lain adalah mendukung keharmonian dan kesejahteraan bersama. Namun, apa yang terjadi sejak kebelakangan ini menayangkan babak kehidupan ekstrem sehingga mengharu-birukan kerukunan hidup bersama dalam masyarakat yang banyak dicetus oleh beberapa faktor. Seandainya kita mampu membuang jauh faktor berikut, In shaa Allah suasana harmonis dan penuh ketenteraman akan dapat dijana.
Apakah faktor tersebut? Sifat dengki-mendengki sesama sendiri. Kita wajib membuang dengki-mendengki sesama sendiri yang banyak mengundang bencana dalam kehidupan ummah. Selagi ada sifat mazmumah keji ini dalam diri, selagi itulah hidup bermasyarakat yang bersatu tidak mampu direalisasikan. Sejak dari awal dakwah Rasulullah SAW sudah memberikan nasihat supaya penyakit rohani seperti dengki ini dinyahkan dari dalam diri. Antara kesan yang boleh dilihat apabila kita mempunyai hasad dengki adalah:
- Jauh daripada Allah SWT.
- Hilang sifat simpati dan empati di dalam diri.
- Mengulangi dosa pertama di bumi dan bertambahnya dosa.
Justeru, jauhilah perasaan hasad dengki sesama umat Islam kerana ia akan membawa bencana ke dalam komuniti itu sendiri. Mari kita menyemarakkan gaya hidup bersandarkan kepada kerukunan masyarakat tanpa diselubungi rasa pra sangka buruk, saling berdengki yang sangat dimurkai Allah SWT. Yakinlah, ukhuwah itu mampu menjadi peneraju kerukunan hidup, sedangkan saling berdengki, berbalah hanya mengundang keretakan ummah dan mencelakan imej agama Islam itu sendiri.
Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam (KHEUB)