Home Kemanusiaan/Motivasi TREND “OYSTER PINK” DI APLIKASI TIKTOK WAHAI KAUM ADAM! SEHINA INIKAH MARTABAT...

TREND “OYSTER PINK” DI APLIKASI TIKTOK WAHAI KAUM ADAM! SEHINA INIKAH MARTABAT SEORANG WANITA DI MATAMU?!

3441
0

Bunyinya agak pelik, bukankah oyster ini makanan laut? Akan tetapi ia tidaklah seperti yang dibayangkan. “Oyster pink” adalah merujuk kepada kemaluan wanita yang kini trend di media sosial khususnya di aplikasi TikTok. Semua ini bermula apabila terdapat satu laporan di portal berita yang melaporkan bahawa kaum wanita di Rusia hanya menerima hantaran sebanyak RM3000 sebagai mahar untuk berkahwin dengan mereka.

Lalu, trend ini dimulakan oleh sebahagian kaum lelaki yang memuatnaik video dengan mengatakan lebih baik berkahwin dengan wanita Rusia, hantaran murah dan mempunyai “oyster pink” daripada wanita tempatan yang hantarannya mahal tetapi mempunyai “oyster hitam” dan longgar. Nauzubillahiminzalik! Wahai kaum adam! Sehina inikah martabat seorang wanita di mata anda semua?! Sehinggakan anda menyamakannya dengan simbolik s***? Lupakah anda juga dilahirkan dari rahim seorang wanita?!

Setiap lelaki perlulah sedar akan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan pelindung kaum wanita yang bakal dipikul oleh mereka. Anak-anak memerlukan contoh yang baik daripada bapa, wanita memerlukan suami yang bertanggungjawab, dan adik-adik memerlukan abang yang bermoral. Tindakan tersebut hanya merosakkan imej diri sendiri dan berkemungkinan besar akan menjadi ikutan kepada golongan yang lebih muda. Bagaimana kita mahu menjadi seorang ayah, abang dan juga suami yang bertanggungjawab andai masih melakukan perkara yang tidak senonoh dan jijik?!

Lelaki diciptakan oleh Allah SWT sebagai pemimpin, di bahu mereka terletak tugas dan tanggungjawab yang besar. Di bahu mereka dibebani dengan amanah yang berat untuk dipikul iaitu memelihara wanita sepertimana Firman Allah dalam surah An – Nisa’ ayat 34 yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka…”

Lelaki yang baik adalah lelaki yang mehormati dan meninggikan darjat wanita. Besarnya tanggungjawab seorang lelaki sehinggakan segala tanggungjawab keatas wanita dipikulkan keatas bahu seorang lelaki. Ingatlah, Rasulullah SAW berjuang sepenuh hati Baginda untuk menaikkan darjat wanita. Adakah kita tegar menjatuhkan martabat mereka hanya kerana sebuah trend?

Wanita bukan objek s*** atau bahan jenaka yang boleh dipermainkan sesuka hati. Mereka adalah ibu kepada anak, isteri kepada seorang suami, kakak kepada seorang adik dan adik kepada abang atau kakak. Sebagai seorang manusia yang mempunyai akal dan mampu berfikir sacara waras, kita sepatutnya sudah mampu untuk faham dan mengerti tentang perkara ini. Apakah perasaan kita andai ibu, kakak, adik perempuan atau anak perempuan kita diperlakukan sedemikian rupa? Gunakanlah akal yang dikurniakan oleh Tuhan sebelum membuat sesuatu perkara.

Sumber: Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis