Home Kemanusiaan/Motivasi 7 KELEBIHAN BAGI ORANG YANG BERDIAM DIRI DAN MENGELAKKAN PERSETERUAN

7 KELEBIHAN BAGI ORANG YANG BERDIAM DIRI DAN MENGELAKKAN PERSETERUAN

122
0

Sesungguhnya kita sebagai manusia fitrahnya apabila kita diprovokasi, dicerca atau dihina kita akan membalas balik dengan perkataan yang sama. Akan tetapi, ada juga sebahagian daripada kita yang lebih memilih untuk berdiam diri dari berhadapan dengan konfrantasi sedemikian rupa. Namun, adakah orang yang selalu berdiam itu orang yang bermasalah atau orang yang tidak cerdik? Berdiam diri bukan bermakna mengalah atau tidak mampu melawan, tetapi mengelak berlakunya fitnah serta menyebarkan keaiban. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam…” (HR Bukhari dan Muslim).

Di antara tujuh kelebihan orang yang memilih untuk berdiam diri mengikut kata – kata para ilmuwan:

  1. Berdiam diri adalah diantara Ibadah yang boleh dilaksanakan tanpa berusaha ataupun bekerja keras.
  2. Berdiam diri menjadi perhiasan diri walaupun seseorang itu tidak memakai sebarang alat perhiasan.
  3. Berdiam diri merupakan kewibawaan tanpa kekuasaan.
  4. Berdiam diri adalah benteng yang menjaga diri walaupun tanpa pagar.
  5. Berdiam diri adalah sesuatu kekayaan walaupun tidak merendahkan orang lain.
  6. Berdiam diri adalah satu kerehatan buat Malaikat pencatat amal.
  7. Berdiam diri adalah penutup kepada sifat kebodohan dan aib diri.

Maka dari itu, perbuatan berdiam diri memiliki hikmah dan ciri kriteria tersendiri ketika dipraktikkan. Apa yang penting adalah kita mengetahui waktu-waktu yang tepat untuk diam dan ketika bila pula bersuara sebagai sikap ketika berinteraksi dengan orang lain.

Walau bagaimanapun, ada ketika diam bukan pilihan yang baik. Sebagai contoh, diam jika dizalimi, diam ketika menyaksikan kemungkaran atau kezaliman. Sabda Rasulullah SAW:

“Katakanlah kebenaran walaupun pahit.” (HR Ibnu Hibban).

Ini bermakna, kemungkaran tidak boleh didiamkan kerana setiap Muslim bertanggungjawab untuk melakukan amar makruf nahi mungkar.

Bersikap diam itu dilihat sebagai suatu kebijaksanaan dan keadilan, ilmu dan pengetahuan, bahkan merupakan akhlak baik yang mampu mendidik masyarakat awam daripada terjerumus ke lembah permusuhan dan kekeliruan. Namun, jangan sampai diam itu membawa padah kepada diri kita sendiri.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri, Negeri Sembilan