Home Syiah KEPERCAYAAN KARUT SYIAH MENGANGGAP IMAM MAHDI DISEMBUNYIKAN DAN DIGHAIBKAN

KEPERCAYAAN KARUT SYIAH MENGANGGAP IMAM MAHDI DISEMBUNYIKAN DAN DIGHAIBKAN

66
0

Pengikut Syiah menyakini Imam Mahadi dilahirkan pada tahun 869 Masihi iaitu zaman pemerintahan kerajaan Abasiyyah. Beliau ialah Muhammad bin Al-Hassan Al-Askaari yang disembunyikan daripada musuh ketika berusia empat tahun selepas bapanya meninggal dunia. Wajah Imam Mahdi pula digambarkan memiliki dahi luas dan hidung mancung manakala tugasnya pada akhir zaman adalah untuk menghapuskan kezaliman serta kebatilan dan akan digantikan dengan kebenaran serta keadilan Islam.

Pengikut Syiah percaya selepas disembunyikan, Imam ke 12, yang didakwa akan muncul sebagai Imam Mahdi itu kononnya dighaibkan oleh Allah SWT dan akan kembali dijelmakan pada akhir zaman untuk menyelamatkan manusia daripada kemungkaran dan kezaliman Dajjal.

Mengikut ajaran Syiah lagi, walaupun Imam Mahdi dighaibkan, beliau dikatakan masih hidup di dunia ini tetapi tidak dapat dilihat oleh penglihatan manusia. Sepanjang tempoh dighaibkan iaitu dari zaman kerajaan Abasiyyah sehingga akhir zaman, Imam Mahdi didakwa mengkaji bagaimana kezaliman berleluasa sepanjang kehidupan manusia di dunia ini seterusnya melakukan persediaan untuk menghadapinya apabia muncul kembali pada suatu hari nanti.

Walau bagaimanapun keyakinan tentang Iman Mahdi ini amat bercanggah dengan keyakinan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Mengikut tokoh-tokoh agama dari ASWJ yang mengkaji hadis-hadis tentang kemunculan Imam Mahdi, ASWJ meyakini bahawa apabila Imam Mahdi muncul pada akhir zaman, beliau tidak sibuk mendakwa dirinya Imam Mahdi yang ditunggu umat Islam dan mengajak manusia supaya mengikutnya.

Malah, pada zaman berkenaan, golongan mukmin sendiri bertindak melantik tokoh terbabit sebagai pemimpin mereka tanpa perlu tokoh itu berkempen supaya manusia memilih dirinya sebagai pemimpin umat Islam seluruh dunia. Tokoh itu sendiri berkemungkinan tidak mengetahui bahawa beliaulah Imam Mahdi yang disebut dalam hadis. Apatah lagi jika mengatakan Imam Mahdi adalah Imam ke 12 Syiah yang dighaibkan oleh Allah SWT dan akan menjelma semula sebagai Imam Mahdi seperti yang diyakini oleh kumpulan Syiah tersebut. Ia jelas satu keyakinan yang karut dan menyesatkan.

Justeru, menerusi hujah berkenaan, jelaslah bahawa jika ada individu tertentu yang tampil ketika ini dan mengaku kononnya merekalah Imam Mahdi, maka tidak syak lagi bahawa individu itu seorang pembawa ajaran sesat. Sebagai umat Islam, kita perlu berhati-hati dalam menentukan identiti dan ciri-ciri peribadi Imam Mahdi supaya tidak terpengaruh dengan ajaran karut Syiah yang mendakwa Imam Mahdi adalah Imam ke 12 mereka yang dilahirkan di zaman kerajaan Abasiyyah, masih hidup, cuma dighaibkan oleh Allah SWT. Imam Mahdi Syiah tersebut dikatakan akan menjelma semula pada akhir zaman iaitu di zaman kita ini.

Keyakinan Syiah ini adalah keyakinan sesat yang tidak berasas yang amat bercanggah dengan keyakinan tentang Imam Mahdi fahaman ASWJ yang berdasarkan penaksiran hadis-hadis yang dangat jelas. Berhati-hatilah dengan tipu daya Syiah!!!

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)