Home Kemanusiaan/Motivasi SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1446 HIJRAH RASULULLAH MENTOR SEPANJANG ZAMAN

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1446 HIJRAH RASULULLAH MENTOR SEPANJANG ZAMAN

85
0

Tanggal 12 Rabiulawal setiap tahun merupakan satu tarikh yang begitu signifikan dengan umat Islam kerana pada tanggal tersebut telah lahirnya seorang insan agung iaitu Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib. Sambutan Maulidur Rasul turut disambut oleh umat Islam sempena memperingati hari kelahiran baginda meskipun kita tidak sempat hidup atau bertemu dengan Baginda SAW kekasih Allah SWT.

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, adalah menjadi menjadi tugas kita untuk menyebarkan adab dan akhlak yang diajarkan Baginda. Sambutan Maulidur Rasul sangat dianjurkan untuk dilakukannya kerana ia boleh menambahkan lagi kecintaan kepada Rasulullah dan akan diberikan pahala jika menetapi syariat Islam.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan fatwa mengenai perkara terbabit. Menurutnya terdapat dua pendapat tentang hukum menyambut MaulidurRasul ini. Pendapat pertama, sebahagian ulama’ mengatakan menyambut Maulidur Rasul ini adalah sebahagian daripada amalan yang bid’ah. Hujah yang diguna pakai oleh mereka adalah dengan mengatakan amalan ini tidak diamalkan oleh generasi terdahulu seperti generasi yang mulia, sahabat-sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in dan juga tidak pada generasi setelahnya. Bahkan terdapat sebuah hadis sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Janganlah kalian berlebihan dalam memujiku seperti kaum Nasrani yang memuji anaklelaki Maryam. Aku hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah (mengenaiku) “Hamba Allah dan Rasul-Nya.” (HR Bukhari).

Pandangan kedua pula adalah sebahagian ulama’ mengatakan bahawa amalan menyambut Maulidur Rasul diharuskan kerana merupakan amalan tokoh-tokoh zaman terdahulu antaranya di irbil (salah satu negeri di Iraq). Namun begitu, dalam konteks amalan menyambut Maulidur Rasul, hadis ini dapat dijadikan panduan bagi umat Muslim untuk merayakan dan memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW dengan cara yang bermakna dan tidak berlebih-lebihan sehingga melanggar syariat Islam.

Sirah Nabi Muhammad SAW merupakan sumber inspirasi bagi umat Muslim untuk menghadapi berbagai cabaran dalam hidup umat mereka. Jika dilihat dari perjuangan Nabi Muhammad SAW umat Islam dapat menjaga keteguhan dalam Iman. Baginda menunjukkan keteguhan dan kekuatan dalam imannya meskipun menghadapi banyak rintangan dan penentangan. Ini mengajarkan umat Islam tentang kepentingan mempertahankan iman dan keyakinan kita dalam menghadapi cabaran dalam hidup.

Sambutan Maulidur Rasul merupakan suatu peristiwa yang penting dan bermaknakepada seluruh umat Islam sebagai memperingati hari kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW. Baginda merupakan tokoh yang berperanan penting dalam menyebarkan syiar Islam ke seantero dunia sehinggalah kita di benua Asia Tenggara ini juga dapat merasai serta menikmati nikmat Islam iaitu nikmat yang paling besar. Disebutkan dalam al-Qur’an pada surah Al-Anbiya ayat 107 berkenaan salah satu tujuan Nabi Muhammad SAW diutus ke muka bumi adalah sebagai pembawa rahmat bagi seluruh alam. Allah SWT berfirman:

“Kami tidak mengutus engkau (Nabi Muhammad), kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.”

Walau apa cara dan bagaimana kita menyambutnya, kita diingatkan untuk tidak sekali – kali melupakan jasa dan pengorbanan Rasulullah SAW dalam menegakkan syiar Islam sehingga ke hari ini. Jadikanlah Rasulullah SAW mentor sepanjang zaman umat Islam. Ini kerana Baginda mempunyai ciri manusia sempurna di mata Allah SWT.

“AL – FALAH PEMACU MALAYSIA MADANI”

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Pahang