Home Kemanusiaan/Motivasi HUBUNGAN SESAMA MUSLIM KIAN PUDAR KUKUHKANLAH HUBUNGAN PERSAUDARAAN SESAMA MUSLIM DAN JAUHI...

HUBUNGAN SESAMA MUSLIM KIAN PUDAR KUKUHKANLAH HUBUNGAN PERSAUDARAAN SESAMA MUSLIM DAN JAUHI KEBENCIAN

273
0

Islam sangat menitikberatkan hubungan persaudaraan sesama Muslim. Ikatan persaudaraan ini sudah terikat dengan akidah yang mampu memberikan seribu manfaat buat umat Islam. Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru RA, daripada Nabi SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang itu digelar al-Wasil (penyambung silaturrahim) apabila dia bersifat al-Mukafi`i (orang yang menyambung silaturrahim jika saudaranya menyambungnya dan akan memutuskan apabila mereka memutuskannya), akan tetapi al-Wasil itu ialah seseorang yang apabila terputus silaturrahim, beliau segera menyambungkannya.” (HR Bukhari).

Hal ini dituntut di dalam agama kerana ia sebahagian usaha untuk mewujudkan suasana saling bekerjasama dan tolong-menolong di antara satu sama lain. Islam sangat melarang keras terhadap sikap permusuhan dan kebencian sesama Muslim bahkan menganjurkan seruan perdamaian bagi mengukuhkan hubungan kerjasama yang erat di antara Muslim. Kehidupan dunia ini sebenarnya menguji kesabaran dan keimanan sebagai seorang Muslim. Ini kerana kita telah diperintahkan Allah SWT untuk memakmurkan bumi ini dengan memastikan hubungan persaudaraan terjalin kukuh bagi setiap Muslim.

Kemarahan dan kebencian hanya membawa kepada malapetaka sehingga mampu menumpahkan darah disebabkan kelalaian manusia untuk mengukuhkan hubungan kasih sayang sesama Muslim. Keharmonian tidak mungkin dicapai umat Islam jika masih ada pihak tertentu cuba membuat onar dan menabur bibit permusuhan demi mencapai kepentingan peribadi ataupun menaruh dendam yang tidak berkesudahan. Hal ini sememangnya disukai oleh musuh kepada umat Islam yang nyata iaitu syaitan dan iblis.

Oleh itu, sebagai orang yang beriman hendaklah sedaya mungkin berusaha untuk mengelak dari sikap permusuhan dan kebencian sesama Muslim. Hal ini melepaskan diri orang beriman dari tertipu dengan permusuhan yang dibisikkan oleh iblis dan syaitan. Bagi membentuk sebuah masyarakat yang kukuh nilai persaudaraan maka seharusnya setiap Muslim menghayati firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa iaitu mereka yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya serta orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang berbuat perkara yang baik.” (QS Ali ‘Imran: 133 – 134).

Justeru, Islam menganjurkan supaya dipertingkatkan amalan saling membantu sesama manusia, mendidik jiwa menahan kemarahan dan sentiasa melatih diri untuk sedia memaafkan kesalahan serta kesilapan saudara Muslim kita. Seharusnya kita sentiasa mempamerkan semangat ukhuwah yang tinggi sesama umat Islam. Kurangkan persepsi kebencian dan buang naratif buruk yang mengakar di dalam pemikiran umat Islam. Hayatilah hadis Rasulullah SAW:

“Janganlah kamu saling membenci, janganlah saling mendengki dan janganlah kamu saling membelakangi dan jadilah kamu semua hamba-hamba Allah yang bersaudara serta tidak halal bagi seorang Muslim tidak bertegur sapa saudaranya melebihi tiga malam.” (HR Bukhari).

Sumber: Koleksi Hadis Jimaain bin Safar, people@utm

(https://people.utm.my/ajmain/2019/12/20/tuntutan-menghubungkan-silaturrahim/)