Home Kemanusiaan/Motivasi TAUBAT NASUHA TAUBATLAH DENGAN SESUNGGUH – SUNGGUHNYA WALAUPUN BERULANG KALI

TAUBAT NASUHA TAUBATLAH DENGAN SESUNGGUH – SUNGGUHNYA WALAUPUN BERULANG KALI

41
0

Setiap manusia di muka bumi ini tidak terlepas dari perbuatan dosa, tetapi persoalannya sejauh mana kita mencuba menghindarinya dan tekad untuk bertaubat serta tidak mengulangi semula. Ada dalam kalangan umat Islam yang bersikap sambil lewa dalam hal itu, malah ada menyedari dosa yang dilakukan, tetapi mengambil sikap gemar menangguhkan hasrat bertaubat dengan memberikan pelbagai alasan.

Apa yang membezakan setiap Mukmin adalah kesanggupan untuk bertaubat kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman:

“Orang yang bertaubat ialah mereka yang akan beroleh kejayaan.” (QS An – Nur: 31).

Apa yang kita perlu tahu adalah maksiat atau dosa yang tidak dibasuh dengan taubat, akan meninggalkan kesan karat pada hati. Setiap hamba supaya bertaubat dengan selengkapnya, dengan melakukan taubat nasuha. Allah SWT memerintahkan setiap hamba supaya bertaubat dengan selengkapnya, dengan melakukan taubat nasuha.

Ada tiga syarat dalam melaksanakan taubat nasuha:

1) Menjauhi dan meninggalkan maksiat dan dosa yang dilakukan.
2) Menyesal di atas segala dosa dan maksiat yang dilakukan.
3) Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama – lamanya.
4)
Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah. Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga syarat di atas dan ditambah satu syarat lagi, iaitu hendaklah ia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah, maka harus minta dihalalkan.

Lakukanlah taubat ini dengan sesungguhnya walaupun berulang kali. Sabda Rasulullah SAW:

Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa lalu dia berkata: “Ya Tuhan, aku telah berdosa. Ampunilah diri ku.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghukum dosanya? Aku telah mengampuni hamba-Ku.”

Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku.”

Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan-ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku. sebanyak tiga kali. Maka biarlah dia lakukan apa yang dia kehendaki.” (HR Bukhari).

Hadis ini jelas menggambarkan bahawa walaupun dosa walaupun terulang seratus malah seribu atau lebih, dan dia bertaubat setiap kali daripadanya, maka taubatnya diterima dan gugur dosanya. Meskipun dia bertaubat dari semua (dosa) dengan sekali taubat setelah semua (dosa), maka taubatnya sah.

Setiap umat Islam perlu sedar setiap dosa dilakukan kerana kesedaran itu jalan kepada penyesalan dan seterusnya memohon taubat kepada Allah SWT. Janganlah berlengah sehingga seluruh hati diselaputi karat dosa kerana pada waktu itu, kalbu tidak lagi menerima limpahan nur dari Allah SWT. Taubat yang dilakukan dengan berulang-ulang serta istighfar yang dilakukan berulang-ulang adalah diterima selagimana tidak terdapat pengulangan dosa setelah bertaubat dan memenuhi syarat taubat yang disebutkan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan