Home Liberalisme PRINSIP SONGSANG LIBERAL: ADAT DIUTAMAKAN, SYARIAT DIKETIPAKAN

PRINSIP SONGSANG LIBERAL: ADAT DIUTAMAKAN, SYARIAT DIKETIPAKAN

40
0

Secara umumnya, ajaran liberalisme yang didukung oleh manusia dulu dan kini, sama ada dalam lingkungan Barat mahupun Timur, Kristian mahupun Islam, adalah ajaran yang menjadikan akal sebagai rujukan paling tinggi hingga ada dalam kalangan mereka yang mempertuhankan akal dan hawa nafsu.

Sangat menghairankan mengapa umat Islam jua ada kelompok yang terfikir untuk memasukkan ideologi liberal dalam pegangan akidah sedangkan Islam telah lengkap pensyariatannya? Mereka bukan sahaja menerima dan membenarkan idea-idea liberal, tetapi menjustifikasikannya dengan mentafsirkan semula Islam agar bersesuaian dengan fahaman liberalisme yang dianuti oleh mereka.

Contohnya, mewujudkan kaedah baru mentafsir semula Islam iaitu kaedah historisisme dan hermeneutika bagi mempertikaikan keutuhan al-Quran itu sendiri sebagai wahyu Allah SWT dan merombak syariah yang dianggap sebagai produk ulama ratusan tahun setelah kewafatan Rasulullah SAW. Misalnya soal menyamaratakan agama, mereka berpendapat apabila setiap penganut agama mendakwa hanya tuhannya dan ajarannya sahaja yang betul, itu hanyalah dakwaan yang relatif dalam konteksnya dan agamanya sahaja.

Jika dilihat daripada konteks keseluruhan agama, maka semua agama yang memiliki konsep ketuhanan yang mengajar kepada kebaikan adalah semuanya benar. Hal ini bertentangan dengan firman Allah SWT dalam Surah ali-Imran, ayat 85, maksudnya:
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi”

Melalui perkara ini dapatlah dilihat bahawa perbuatan mereka mencabar ajaran Islam dan menolaknya, bahkan mengajak orang lain untuk bersama mereka adalah perkara yang harus dibimbangi oleh umat Islam. Hal ini kerana perbuatan sedemikian rupa boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. Justeru itu, umat Islam perlu mempertahankan masyarakat daripada terjebak dengan pemikiran songsang ini.

Sumber: Harakah Daily