Home Ajaran Sesat AJARAN SESAT BUKAN SAHAJA MEMESONGKAN AKIDAH UMAT ISLAM MALAH BOLEH MENGGANGGU KESTABILAN...

AJARAN SESAT BUKAN SAHAJA MEMESONGKAN AKIDAH UMAT ISLAM MALAH BOLEH MENGGANGGU KESTABILAN DAN KEHARMONIAN NEGARA

789
0

Salah satu cabaran dalam pengembangan agama Islam sejak dahulu ialah wujudnya pengaruh yang cuba memesongkan akidah umat Islam. Kebanyakan ajaran sesat bergerak secara senyap-senyap atau tanpa disedari menyebabkan ia sukar dikesan dan dibanteras sejak awal lagi oleh pihak berkuasa agama.

Ajaran sesat mempunyai kategori dan ciri-cirinya yang tersendiri. Ruang lingkup bagi ajaran sesat sebenarnya amat luas. Ia mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia seperti aspek kepercayaan, adat, budaya hidup, muamalah, ibadat, politik, ekonomi dan sebagainya.

Penyebaran ajaran sesat mungkin dapat dibanteras jika setiap individu Muslim berwaspada dan meningkatkan pengetahuan agama menerusi cara yang betul serta mengelak diri daripada dipengaruhi kumpulan tertentu yang kebanyakannya mempunyai agenda peribadi.

Ajaran sesat yang terlibat dengan berbagai amalan bid’ah boleh dikategorikan kepada dua iaitu jenis bid’ah ‘mukaffirah’ (bid’ah yang boleh menyebakan pelakunya menjadi kafir) dan jenis bid’ah ‘ghairu mukaffirah’ (bid’ah yang tidak menyebabkan pelakunya menjadi kafir). Sekiranya kesesatan yang dilakukan adalah termasuk dalam jenis bid’ah ‘ghairu mukaffirah’, maka tidak syak lagi bahawa dia adalah kekal sebagai seorang Islam tetapi dia mungkin termasuk dalam golongan orang yang fasik iaitu golongan yang melanggar perintah Allah dan berdosa. Namun sekiranya kesesatan itu menyentuh persoalan ‘bid’ah mukaffirah’, maka menjadi tanggungjawab umat Islam agar berhati-hati serta benar-benar melakukan penelitian kerana ia boleh mengakibatkan seseorang terkeluar daripada Islam atau menjadi murtad.

Sesungguhnya akidah, syariat dan akhlak Islam aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) berperanan menyatupadukan umat dan menjamin keamanan serta kestabilan negara. Manakala ajaran sesat dianggap sebagai usaha untuk mengacau bilaukan kestabilan dan keharmonian negara. Ajaran sesat bukan sahaja memberi kesan buruk terhadap individu tetapi juga kepada keluarga dan masyarakat.

Sumber: Mohd Aizam Mas’od (2013), Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, JAKIM.