Home Kemanusiaan/Motivasi BERSABARLAH MENGHADAPI MUSUH DAN JANGAN MELAMPAUI BATAS SYARIAT DALAM MELAKUKAN SESUATU TINDAKAN

BERSABARLAH MENGHADAPI MUSUH DAN JANGAN MELAMPAUI BATAS SYARIAT DALAM MELAKUKAN SESUATU TINDAKAN

489
0

Sejak tragedi berdarah di Perancis pada 18 Oktober lalu, dunia seakan memusuhi Islam kerana menganggap agama ini mempromosikan siri keganasan terhadap hak kebebasan bersuara masyarakat dunia khususnya yang bukan beragama Islam. Hal ini sememangnya sedikit sebanyak telah mencalarkan imej dan kedaulatan Islam sebagai agama kedamaian dan toleransi.

Akan tetapi, adakah kita perlu tinggal berdiam sahaja saat agama kita diinjak? Tidak benar sama sekali. Walau bagaimanapun, keganasan bukanlah jalan penyelesaiannya. Mengambil tindakan dengan cara membunuh secara kejam atas alasan membalas dendam dan untuk membela Islam, bukanlah cara yang benar mengikut syariat Islam. Tindakan tersebut adalah tindakan yang salah yang dilakukan oleh kumpulan militan, yang akhirnya merugikan dakwah Islam itu sendiri. Apapun yang kita lakukan, kesabaran mesti diletakkan pada tangga teratas dalam diri. Rasulullah SAW juga pernah melalui detik-detik di mana Baginda diprovokasi, dihujat dengan pelbagai kata-kata nista dan dibaling pelbagai objek hingga terluka serta pernah dihalau keluar dari kota Makkah bertahun lamanya oleh kafir Quraisy.  Namun, Baginda tetap bersabar dengan dugaan tersebut dan tidak pernah sekali-kali pun melontarkan amarah dan perbuatan ganas.

Firman Allah SWT:“Maka sampaikanlah olehmu (Muhammad) secara terang-terangan, segala apa yang diperintahkan kepadamu dan berpalinglah daripada orang orang Musyrik. Sesungguhnya Kami memelihara kamu daripada kejahatan orang-orang yang mempersendakan kamu, iaitu orang-orang yang menganggap (ada) tuhan-tuhan yang lain di samping Allah S.W.T. Maka mereka kelak akan mengetahui akibat-akibatnya.” (QS al-Hijr: 94-96)

Oleh itu, jalan terbaik bagi umat Islam dalam menghadapi musuh-musuhnya adalah bersabar dan sentiasa menerangkan secara tepat akan perbuatan yang melampaui batas syariat itu tidak termasuk dalam ajaran Islam. Ini kerana Islam menganjurkan kedamaian dan perpaduan. Islam juga menyokong hak bersuara tetapi harus diingatkan bahawa kebebasan bersuara tidak tertakluk kepada semua perkara, khususnya yang melibatkan sensitiviti masyarakat dan agama.

Justeru, semua pihak dinasihatkan untuk saling bermuafakat tidak kira daripada apa jua latar belakang agama dan kepercayaan. Ini bagi mengekang sebarang bentuk fahaman songsang yang akan mengundang malapetaka kepada semua pihak. Amatlah penting bagi kita sebagai umat Islam memberi penerangan yang betul saat agama ini dilabelkan sebagai agama keganasan dan janganlah sesekali terpancing emosi dan provokasi pihak musuh kerana mereka memang ingin melihat kehancuran Islam. Bersabarlah!

Firman Allah SWT: “… dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan, dan peperangan melawan musuh. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” (QS al-Baqarah: 177)

Sumber: Harakah Daily dan Jabatan Mufti Negeri Sembilan