Home Kemanusiaan/Motivasi KETAKSUBAN MELAMPAUI BATASAN GHULUW AGAMA WAJAR DITANGANI

KETAKSUBAN MELAMPAUI BATASAN GHULUW AGAMA WAJAR DITANGANI

40
0

Kewujudan ajaran sesat bukanlah satu perkara yang baru di negara ini. Bahkan ia sudah bertapak sejak bertahun lamanya. Namun kini ia kembali diaktifkan dengan alasan ajaran itu masih lagi benar. Seperti kewujudan semula ajaran al – arqam yang diasaskan oleh Allahyarham Ashaari Muhammad atau lebih dikenali dengan panggilan abuya Ashaari.

Ajaran yang berselindung di sebalik nama Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) ini dikatakan masih lagi taksub dengan sosok abuya sehingga diciptakan lagu yang memuji dan memuja sosok berkenaan dengan alasan menjadi penyelamat mereka di akhir zaman nanti. Ketaksuban yang melampau ini harus ditentang sehabisnya. Ajaran Islam menuntut agar menjauhi perbuatan berlebih-lebihan dan melampau terutama dalam urusan agama sebaliknya mengamalkan budaya bertoleransi, tasamuh dengan berlapang dada berasaskan keluasan fikiran. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya agama ini mudah. Tiada seseorang yang mempersulitkan agama melainkan dikalahkannya.” (HR Bukhari).

Ghuluw (taksub dan melampau) di dalam agama bakal mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat seperti melumpuhkan fungsi akal dan menjumudkan kefahaman serta pemikiran sehingga tidak dapat menilai maslahah umum. Golongan dilanda gejala ghuluw tidak bersedia mengadakan perbincangan untuk menegakkan hujah berpandukan dalil sahih sebaliknya menolak mentah-mentah pandangan berbeza.

Ketahuilah, sifat taksub dalam beragama akan membutakan mata dan hati kepada kebenaran, enggan menerima teguran serta tidak mahu mengakui kesalahan atau membaiki kesilapan dilakukan. Sifat fanatik atau taksub dilarang Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran pada Surah al-Maidah ayat 77 yang bermaksud:

“Katakanlah wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini serta telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) daripada jalan yang betul.”

Rasulullah SAW juga bahkan sudah memberi amaran melalui sebuah hadis. Sabda Baginda:

“Jauhilah melampau dalam agama. Sesungguhnya rosaknya orang sebelum kamu kerana melampau dalam agama.” (HR Imam Ahmad).

Sikap keterlaluan dan ketaksuban terhadap sesuatu perkara akan menimbulkan sifat keras dalam beragama sekali gus menyalahi kehendak dan maksud sebenar tuntutan syariat. Oleh itu, agama Islam menganjurkan pertanyaan dan menggalakkan manusia berfikir secara rasional, namun tidak menolak sumber wahyu agar berlaku proses tajdid atau idea pembaharuan berdasarkan perkembangan semasa.

Jadi, janganlah kita sesekali terpengaruh dengan golongan yang begitu ghuluw dalam sesuatu fahaman. Boleh jadi kefahamannya itu adalah songsang. Islam itu agama yang sederhana, tidak terlalu memberatkan tetapi tidak juga terlalu ringan.

Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)