Semakin dunia menuju ke akhir zaman, semakin banyak anasir yang mengelirukan dan menyesatkan umat Islam memunculkan diri. Seperti mana ajaran sesat baru yang muncul di Malaysia yang dibawa oleh seorang pendakwah lelaki berasal dari Damsyik, Syria atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mohib Khouli. Beliau menjadi perhatian masyarakat Islam khususnya di Terengganu kerana mahir bertutur dalam loghat Besut dan ceramah agamanya sering diselitkan dengan unsur jenaka.
Namun, ajaran yang dibawa oleh Mhd Mohib Khouli Nazem ini telah difatwakan sesat oleh Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) kerana bercanggah dengan tonggak akidah Islam yang diyakini oleh ulama al-Asya’irah dan al-Maturudiyyah. Antaranya ialah:
i. mendakwa bahawa Allah SWT Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu dan oleh sebab itu, jika Allah SWT menghendaki mengadakan anak untuk diriNya, Dia Maha Berkuasa menciptanya;
ii. Mendakwa bahawa golongan al-Asya’irah adalah sama dengan golongan Yahudi, Jahmiyyah, Mu’tazilah, Musyrikin dan penyembah lembu;
iii. mendakwa bahawa akidah para ulama al-Asya’irah seperti Imam al-Ghazali, Imam al-Nawawi, Imam Fakhruddin al-Razi, Imam al-Syahrastani dan Sultan Ulama I’zzuddin Ibn ‘Abd al-Salam adalah sama pegangan dengan akidah puak sesat Jahmiyyah;
iv. Mendakwa bahawa Imam Abu Hanifah mati dalam keadaan kufur dan mendakwa bahawa tidak sah solat di belakang imam yang berpegang dengan akidah al-Asya’irah; dan sebagainya.
Dakwaan-dakwaan seperti ini boleh mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat awam khususnya dan mencetuskan fahaman ekstremis agama atau golongan pelampau disebabkan ketaksuban serta kesalahfahaman terhadap ajaran ini sehingga mencenderungkan untuk berlakunya ancaman keselamatan kepada negara. Jika di zaman Rasulullah SAW, Nabi Muhammad SAW boleh segera dirujuk sekiranya berlaku apa-apa permasalahan, namun setelah 1446H kewafatan Baginda, mazhab adalah tempat rujukan umat Islam kerana di belakang sesebuah mazhab itu terdapat para ulama yang telah berijtihad di dalam pelbagai perkara berasaskan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW.
Jika sesuatu ajaran itu bercanggah dengan mazhab, maka umat Islam perlu berhati-hati kerana sudah pasti ianya termasuk di dalam ajaran yang menyesatkan. Begitulah jua dengan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazemini yang difatwakan sesat kerana mempunyai elemen-elemen yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, Justeru itu, janganlah terpengaruh dengan fahaman yang dibawa olehnya.
Sumber: Berita Harian – 17 NOV 2023 dan Ceramah Ustaz Wadi Anwar