Home Kemanusiaan/Motivasi GUNALAH PANCAINDERA UNTUK KEBAIKAN JANGAN SAMPAI MENJADI PUNCA KERUNTUHAN UKHUWAH

GUNALAH PANCAINDERA UNTUK KEBAIKAN JANGAN SAMPAI MENJADI PUNCA KERUNTUHAN UKHUWAH

56
0

Kita sedang berada pada zaman teknologi serba canggih dan keadaan juga sudah berubah. Kalau sebelum ini manusia banyak gunakan lidah untuk menyatakan hasrat, tetapi sekarang banyak menggunakan jari dalam menyampaikan kehendak. Kini, jari-jemari menjadi pengganti lidah untuk menzahirkan kehendak, perasaan, ketidakpuasan, kemarahan, malah seribu satu perkara yang menimbulkan kekeruhan sosial. Sama halnya seperti lidah, apabila jari sudah tidak takutkan Allah SWT, tidak berbekas di hati akan kebesaran Allah SWT, lahirlah kerosakan di atas muka bumi ini.

Hari ini, kita sudah pun dapat menyaksikan bagaimana mudahnya tercetus sesuatu perselisihan, pergaduhan sesama Muslim yang timbul akibat ‘curangnya’ lidah. Lidah mudah sangat menuturkan apa sahaja yang terlintas di fikiran, manakala akal pula tidak terlintas untuk memikirkan kesan akibatnya. Apabila semua itu terjadi, maka runtuhlah tali ukhuwah akibat ‘tergelincirnya’ lidah. Saidina Uthman bin Affan mengingatkan kita dengan pesanannya:

“Tergelincir lidah itu lebih berbahaya daripada tergelincir kaki.”

Apa yang dimaksudkan dari pesan tersebut adalah sekiranya kaki tergelincir, sakit akibat daripadanya semasa kita hidup sahaja dan masih mampu dipulih dengan perawatan. Namun, tergelincir lidah satu negeri atau negara boleh musnah dalam permusuhan dan pergaduhan. Itu di dunia, apatah lagi di akhirat kelak, mereka yang gagal mengawal lidahnya tentu sekali diancam dengan seksa Allah SWT yang amat pedih.

Bahkan, Rasulullah SAW sudah memperingatkan agar umat Baginda bertindak bijak dalam bertutur kata supaya tidak terjerumus dalam kancah dosa. Hal ini jelas sebagaimana hadis daripada Baginda yang bermaksud:

“Sesungguhnya seorang hamba mengucapkan kalimat tanpa difikirkan terlebih dahulu dan kerananya dia terjatuh ke dalam neraka sejauh antara timur dan barat.” (HR Muslim).

Maka dari itu, gunakanlah pancaindera yang dikurniakan oleh Allah SWT ke arah kebaikan. Baik lidah yang menjadi organ badan kita mahupun jari-jemari yang kini mula rancak ambil alih peranan lidah itu sewajarnya sentiasa bersuluhkan panduan iman. Usah sampai lidah menjadi peruntuh ukhuwah. Ingat, jangan sampai menjadi punca keruntuhan ukhuwah.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan