Allah SWT itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Namun, apabila kita melakukan dosa dengan sewenangnya sehingga mengundang kemurkaanNya, sudah pasti kita akan mendapat balasan yang setimpal atas apa yang dilakukan. Adakah kita mengetahui apa tanda – tanda kemurkaan Allah SWT kepada kita sekiranya kita melakukan dosa? Mungkin secara kasar kita tidak nampak, akan tetapi sekiranya kita melihat dengan mata hati kita, kita sendiri akan merasa perubahannya.
Berikut adalah tanda kemurkaan Allah SWT kepada hambaNya yang sering berbuat dosa:
1) Merasa malas untuk berzikir kepada Allah SWT.
2) Syirik kepada Allah SWT. FirmanNya:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar.” (QS An Nisa’: 48).
3) Hidup senang-lenang tanpa mendapat ujian berat yang membolehkannya menginsafi diri dan takut pada Allah SWT.
4) Banyak melakukan maksiat dan kerosakan, terutamanya maksiat dan perkara-perkara mungkar yang terang-terang tanpa malu dan segan.
5) Cinta kepada dunia dan hawa nafsu lebih daripada cinta kepada Allah SWT dan RasulNya. Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak (sempurna) iman seorang daripada kamu sehingga aku (Muhammad) lebih disayangi daripada hartanya, anaknya dan orang lain.” (HR Bukhari).
6) Sombong dengan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” (HR Muslim).
7) Orang yang tidak tenang dan sentiasa resah-gelisah kerana dunia.
8) Orang yang menentang ajaran Islam. Umar ibnu al-Khattab RA berkata:
“Kita dimuliakan Allah dengan Islam dan barangsiapa yang mencari kemuliaan selain dari Islam, maka dia akan dihinakan.” (Ibnu Abdil Birr dalam kitab Al-Mujalasah wa Jawahiril Ilmi, juz II, hlm 273).
Maka dari itu, janganlah kita sesekali mencari kemurkaan Allah SWT. bertaubatlah sekiranya kita merasakan diri ini penuh dengan dosa dan noda. Allah SWT itu Maha Pengampun segala dosa. Dia mengampunkan segala dosa hambaNya tanpa rasa berkira.
Sumber: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan, 14 April 2022.