Home Kemanusiaan/Motivasi TEGURLAH DENGAN BERPADA – PADA: JANGAN SAMPAI TERLIBAT DENGAN KANCAH BULI SIBER

TEGURLAH DENGAN BERPADA – PADA: JANGAN SAMPAI TERLIBAT DENGAN KANCAH BULI SIBER

60
0

Mutakhir ini semakin ramai manusia yang ingin mengambil tahu akan kehidupan peribadi seseorang. Ini ditambah pula dengan kewujudan teknologi tanpa sempadan dan media sosial, semakin mendalam lagi orang ingin mengambil tahu. Pengguna media sosial atau digelar sebagai warga siber dan netizen tidak melepaskan peluang untuk turut serta berpolemik tentang isu terbabit sehingga seringkali terbabas melontarkan komentar tidak berasas berbaur negatif.

Ia seolah menggambarkan sebagai perlumbaan untuk menjuarai topik perdebatan walaupun kadangkala benar pihak yang dikecam didapati melakukan kesalahan namun netizen bertindak menghentam secara berlebih-lebihan sehingga melangkaui batas kesusilaan. Tindak balas yang keterlaluan ini secara tidak sedar menyebabkan netizen terjerumus kepada perbuatan buli siber yang semakin membimbangkan.

Terdapat seakan-akan suatu amalan yang kini menjadi kebiasaan seperti membuat ulasan terhadap sesuatu berita tanpa benar-benar meneliti dan memahami hujung pangkal cerita, jauh sekali berusaha membuat semakan dan pengesahan terhadap fakta yang diterima. Sebaliknya golongan tersebut cenderung membina persepsi berlandaskan emosi dan bertindak melangkaui batasan adab dan pekerti dengan perbuatan menghina, mencerca, dan mengeji. Bukankah Allah SWT sudah memberi amaran? FirmanNya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah- rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.” (QS Al – Hujurat: 11).

Apa yang perlu kita ketahui, membuat satu spekulasi, komen dan teguran itu hendaklah secara berpada – pada. Kritikan dan teguran tidaklah menjadi suatu kesalahan selagi dilaksanakan dengan berlandaskan akhlak dan kesusilaan. Namun gunakanlah saluran dan kaedah penyampaian yang betul agar matlamatnya tidak terpesong. Sebaliknya kritikan dan teguran bukanlah suatu lesen untuk membenarkan apa-apa sahaja tindakan sehingga melahirkan masyarakat yang kehilangan adab, merasa berhak untuk mencemuh dan merendah- rendahkan pihak lain sewenang-wenangnya atas nama nasihat dan kritikan.

Bertegurlah dengan berpada – pada, jangan sampai diri kita terjebak dalam kancah buli siber. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya orang yang paling dibenci Allah ialah orang yang paling kuat bermusuhan.” (HR Muslim).

Sumber: Kolum Ad – Din, Harian Metro (5 Oktober 2024)