Home Liberalisme AWAS DENGAN DAKYAH LIBERALISME MELALUI FILEM!!! MENGGUNAKAN PELAKON MELAYU UNTUK MEMPROMOSI FILEM...

AWAS DENGAN DAKYAH LIBERALISME MELALUI FILEM!!! MENGGUNAKAN PELAKON MELAYU UNTUK MEMPROMOSI FILEM GAY ADALAH SUATU YANG MEMBAHAYAKAN AKIDAH GOLONGAN MUDA ISLAM

1457
0

Islam tidak menentang kebebasan bersuara atau meluahkan perasaan. Islam mendukung konsep kebebasan sebagai hak dan prinsip politik yang mesti dihormati, namun kebebasan tidak boleh disalahgunakan sehingga mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

Islam hanya boleh menerima prinsip kebebasan tidak melampaui batas dan tidak boleh sesekali meraikan kebebasan yang melampaui batas kerana kebebasan seperti itu akan menimbulkan masalah besar kepada masyarakat.

Sebagai contoh, baru-baru ini tular di aplikasi TikTok kisah pelakon lelaki Melayu-Islam yang baru berusia 17 tahun telah menjalani penggambaran dalam siri bertemakan gay berjudul ‘Stay Away From Me’ yang ditayangkan pada 5 Disember lepas di aplikasi temu janji gay dan penstriman video. Walaupun pelakon itu mendakwa bahawa ia hanyalah sekadar lakonan, namun secara asasnya ia telah melanggar prinsip kebebasan yang telah digariskan oleh syariat dan sudah semestinya perbuatan tersebut dikategorikan sebagai melampaui batas.

Tindakan pelakon Melayu-Islam di bawah umur tersebut boleh dikatakan telah mempromosikan seks bebas, mewajarkan maksiat dan kemungkaran pada masyarakat awam. Secara tidak langsung juga, ia memperlihatkan bahawa berlakunya penyuburan ideologi liberalisme secara tidak sedar khususnya dalam kalangan anak muda Islam.

Pihak kerajaan atau pemerintah seharusnya menyekat perkara-perkara ini kerana adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk memelihara agama rakyat iaitu syariat Islam lebih-lebih lagi apabila Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan Malaysia. Hal ini bertepatan dengan prinsip ‘sadd al-zara’i’ dalam hukum Islam bertujuan menutup pintu-pintu yang boleh membawa kerosakan besar kepada masyarakat. Jangan gentar untuk diambil tindakan terhadap perkara-perkara seperti ini kerana bala Allah tidak mengenal sesiapa. Masing-masing perlu memainkan peranan untuk mengajak ke arah kebaikan dan menasihat untuk meninggalkan kemungkaran, namun biarlah dengan penuh hikmah.

Sumber: Harian Metro, 4 DIS 2021 dan Berita Harian, 13 OKT 2017