Baru – baru ini timbul isu perdebatan antara warga maya berkenaan satu artikel yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Selangor berkenaan dengan amalan pemakaian telekung “2 pieces” yang digunakan oleh kalangan wanita Melayu Islam dan hukumnya. Ramai di kalangan netizen mempersoalkan hukum ini dan tidak kurang juga ramai yang mengkritik dengan mengatakan Mufti buat undang – undang ikut kepala sendiri.
Perlu kita ketahui bahawa pemakaian telekung ketika solat bagi kaum wanita bukanlah satu kewajipan. Ia diamalkan oleh kaum wanita di Nusantara seperti Malaysia dan Indonesia untuk menutup aurat agar lebih yakin ketika beribadah. Syarat asal pemakaian solat bagi kaum wanita sama seperti syarat yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada wanita Muslim iaitu menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Allah SWT berfirman:
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar);” (QS Al – Ahzab: 59).
Walaupun ayat di atas adalah perintah Allah SWT kepada kaum wanita apabila hendak keluar, namun ia juga terpakai ketika mahu beribadah. Pemakaian telekung “2 pieces” sebenarnya sah solat, tetapi dengan syarat-syarat:
1) Pastikan telekungnya tidak jarang, tidak terlalu nipis, tidak terlalu pendek dan tidak terlalu ringan hingga mudah melayang apabila terkena angin.
2) Berhati-hati ketika mengangkat takbir dan mengangkat tangan untuk membaca doa qunut jangan sampai aurat terzahir. Cara selamatnya, angkatlah takbir ‘dari dalam’ telekung. Jangan sampai terangkat atau terselak telekung sehingga menampakkan aurat lengan. Cukup tangan sahaja yang dinaikkan ‘dari dalam’ kain telekung.
3) Bukan solat di atas lantai yang lutsinar, mozek, marmar yang jernih atau cermin bila dipandang ke bawah yang boleh menampakkan pantulan aurat dari dalam atau lantai kayu yang berlubang, atau ketika wanita itu solat di bahagian edge lantai tingkat atas yang memungkinkan orang di bawah boleh melihat auratnya dari bawah.
Namun, sekiranya tidak yakin, maka buat lah dengan cara berikut:
1) Pakai telekung 1 pieces. Ini memang tiada khilaf dan sah solat.
2) Pakai telekung 2 pieces. Tetapi, pakailah pakaian yang menutup aurat di dalam.
3) Tidak pakai telekung. Solat dengan pakaian biasa yang menutup aurat, kerana telekung tidak wajib, yang wajib adalah menutup aurat. Oleh itu, sah solat tanpa mengenakan telekung jika pakaiannya telah menutup aurat.
Oleh itu, janganlah kita terpancing emosi dengan hukum hakam agama yang jelas dan nyata penjelasannya. Sekiranya telekung “2 pieces” kita diyakini menutup aurat dengan lengkap, maka sah dan sempurnalah solat kita. Islam itu mudah tetapi jangan terlalu memudahkannya.
Sumber: Jabatan Mufti Selangor