Home Kemanusiaan/Motivasi HUTANG WAJIB DIBAYARBANYAK BERHUTANG MENGUNDANG AL – HAMM

HUTANG WAJIB DIBAYARBANYAK BERHUTANG MENGUNDANG AL – HAMM

50
0

Tidak dinafikan dalam hidup ini kita tidak akan lari dari berhutang dalam pelbagai keadaan. Sebagai contoh, hutang rumah, kereta, perniagaan dan juga pendidikan. Agama Islam sebenarnya tidaklah melarang umatnya berhutang kerana ia salah satu cara membantu orang yang sangat memerlukan bantuan. Malah ia dapat menyemarakkan semangat tolong-menolong. Malah Allah SWT berfirman:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa maksiat dan permusuhan.” (QS Al – Maidah: 2).

Meskipun begitu, hutang tidaklah digalakkan jika ia dikhuatiri menjadi satu bebanan kepada penghutang ketika hendak membayarkannya. Jika seseorang itu terpaksa juga berhutang, ia hendaklah berazam dan berniat untuk membayar balik hutangnya.  Ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya.” (HR Bukhari).

Jika dilihat kepada trend berhutang zaman ini, ia amat menyedihkan. Manakan tidak, hutang tapi tidak mahu membayarnya. Pemiutang pula yang terpaksa “mengemis” daripada penghutang. Pernah dalam satu peristiwa Rasulullah SAW tidak mahu melakukan solat jenazah ke atas seseorang yang masih mempunyai hutang. Namun, Baginda melakukan solat jenazah tersebut seusai hutangnya dijelaskan. Tindakan Rasulullah itu sebagai pengajaran kepada mereka yang enggan membayar hutang tanpa alasan. Hutang tersebut termasuklah juga hutang kepada institusi seperti bank. Oleh itu, hutang pinjaman bank juga termasuk dalam hutang yang wajib dibayar. 

Maka dari itu, Islam tidak memandang ringan soal hutang-piutang ini. Dalam al-Quran terdapat penjelasan yang panjang lebar berhubung tata cara pengurusan hutang.  Tujuan Islam mengajar tata cara pengurusan hutang ini adalah bagi mengelak daripada berlakunya penipuan dan penindasan antara penghutang dengan pemiutang berhubung sesuatu hutang yang dibuat.  

Walau apa jua bentuk dan tujuan berhutang itu, selagi dinamakan hutang maka ia wajib dibayar mengikut perjanjian atau budi bicara pemiutang. Ingat, banyak menanggung hutang itu mengundang al – hamm (kegelisahan).

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)