Hidup di dunia ini bukanlah berpaksikan kehendak diri semata-mata, tetapi ia lebih kepada untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dalam usaha untuk kita meraih keredhaanNya. Namun begitu, apabila namanya manusia memang tidak akan terlepas dari melakukan kesalahan.
Sudah lumrah dunia, ada manusia yang bersikap terlalu berbangga diri dengan pujian dan kelebihan yang ada pada dirinya. Berbangga diri atau ‘ujub’ adalah satu sifat yang sangat tercela dan dibenci oleh Allah SWT kerana ia menyebabkan seseorang itu kufur terhadap nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. FirmanNya:
“Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertakwa.” (QS al – Najm: 32).
Manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan dan salah satunya terlalu berbangga diri dengan segala kelebihan yang ada pada dirinya. Allah memberikan kita nikmat di dunia untuk kita berbuat baik sesama manusia demi menggapai pahala dan balasan di akhirat. Jika dengan satu nikmat kita sudah kufur, bagaimana Allah SWT hendak memberi nikmat yang lain? Oleh itu, janganlah merasa diri kita itu paling sempurna. Sentiasalah bersikap rendah diri dan mengakui jika diri itu mempunyai banyak kelemahan.
Rasulullah SAW bersabda:
“Tiga perkara yang membinasakan: Orang kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan seseorang itu merasa kagum pada dirinya.” (HR al – Tabarani dalam al -Mu’jam al – Awsat [5915]).
Oleh itu, jagalah hati dan sama-samalah kita sentiasa bersikap sederhana terhadap semua perkara dan tidak terlalu berbangga diri. Lawan ujub ialah zikir al – minnah yang bermaksud mengingati kurniaan Allah SWT. Dengan mengamalkan zikir itu, hati kita akan sentiasa mengingati Allah SWT dan Allah SWT lah yang akan memuliakan amalan dan memperbanyakkan pahala kita.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan