Home JIHAD BERJIHADLAH DALAM MENUNTUT ILMU NESCAYA ALLAH PERMUDAHKAN JALAN KE SYURGA

BERJIHADLAH DALAM MENUNTUT ILMU NESCAYA ALLAH PERMUDAHKAN JALAN KE SYURGA

1347
0

Ramai yang tidak mengetahui bahawa jihad bukan sahaja tertakluk kepada perperangan, tapi sebaliknya ia telah dipecahkan kepada banyak perkara. Salah satu daripadanya adalah jihad dalam menuntut ilmu. Sesebuah negara yang menitik beratkan soal masa depan sudah tentu sangat mengambil berat isu pendidikan generasi yang bakal mengganti generasi sedia ada.

Firman Allah SWT:

“Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya”. (QS. At-Taubah: 122)

Ilmu pengetahuan bukan sahaja menjamin nilai tambah dalam diri seseorang. Bahkan ia mampu membentuk pemikiran yang sihat bagi setiap umat dalam membina masa depan cemerlang. Ilmu yang baik akan membentuk jati diri seseorang Muslim.

Daripada Abu Darda “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa melalui satu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para Malaikat akan membentangkan sayapnya kerana redha kepada penuntut ilmu. Penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di dalam air mendoakan keampunan kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya, keutamaan seorang alim dibanding dengan seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama atas semua bintang. Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi, dan para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya, maka ia telah mengambil bahagian yang sangat besar.” (HR Ibnu Majah: 219)

Ilmu amatlah penting dalam kehidupan harian kita. Ilmu amat penting kepada manusia untuk memperbaiki kehidupan mereka. Ilmu boleh diumpamakan pelita yang menerangi kegelapan hidup manusia. Orang yang berusaha mencari ilmu sama ada ilmu fardhu ain ataupun kifayah, Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga. Mereka yang menuntut ilmu sentiasa dinaungi sayap malaikat serta mendapat doa daripada penghuni langit dan bumi supaya dosanya diampunkan oleh Allah SWT.

Sumber: ‘Ilmu pembuka jalan ke syurga’, Harian Metro, 23 November 2018.