Kehidupan beragama sebenarnya memberi 1001 kelebihan kepada manusia, apatah lagi agama Islam. Agama memberikan manusia tuntutan dan ajaran hidup serta memberi jawapan tentang hal yang tidak dapat dijelaskan oleh manusia. Dengan agama juga, manusia mampu membezakan hakikat sebenar bagi kebaikan dan keburukan. Agama juga adalah penyeimbang antara elemen luaran dan spiritual manusia.
Lihat sahaja perkongsian pengalaman Yusuf Estes, Yusuf Islam, Sonny Bill Williams dan lain-lain lagi, pasti ada banyak perbezaan yang mereka alami dan rasai sebelum dan selepas memeluk Islam. Inilah hal yang hanya akan difahami oleh mereka yang beragama. Allah SWT telah menjelaskan di dalam al-Quran berkenaan orang-orang yang tidak beriman di dalam Surah al-An’am, ayat 125, maksudnya:
“Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadi dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.”
Semoga kita sama-sama dapat menginsafi akan kelemahan diri dan berusaha memperkukuhkan iman dan ketaqwaan kepada Allah SWT.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan