Home Ajaran Sesat JEMAAH TAREKAT NAQSYABANDIYAH TELAH MULA PUASA HUJUNG FEBRUARI LEPAS NYATA SESAT

JEMAAH TAREKAT NAQSYABANDIYAH TELAH MULA PUASA HUJUNG FEBRUARI LEPAS NYATA SESAT

90
0

Sudah acapkali diwar-warkan berkenaan dengan kesesatan ideologi Jemaah Tarekat Naqsyabandiyah yang nyata bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kali ini, golongan tersebut muncul kembali dengan kontroversi menyambut puasa lebih awal daripada umat Islam yang lain.

Menurut amalan turun-temurun jemaah tersebut, penentuan satu Ramadan dibuat oleh tokoh-tokoh ulama Naqsyabandiyah melalui kaedah hisab, ru’yah, dalil, ijma dan qiyas dua bulan yang lalu. Hasil musyawarah, golongan Jemaah Tarekat Naqsyabandiyah telah menjalankan ibadah puasa bermula pada Khamis, 27 FEB 2025 yang lalu berbanding dengan umat Islam yang lain yang baru bermula pada Ahad, 2 MAC 2025.

Bukan itu sahaja, malah golongan tersebut turut mempunyai ritual sebelum menyambut bulan puasa. Umpamanya pengikut ajaran ini yang berada di Sumatera Barat, sehari sebelum berpuasa, mereka akan ke Jambatan Lubuk Kilangan, Kota Padang, Sumatera Barat untuk menjalankan tradisi Balimau. Tradisi Balimau ini adalah dikatakan untuk menyucikan diri secara zahir dan batin menjelang bulan Ramadan dengan menggunakan ramuan wangian dari bahan daun jeruk atau limau nipis dan parutan kelapa serta rampah-rempah lain dan dicampur dengan air.

Wangian ramuan yang telah siap tersebut kemudiannya dibawa ke pinggir sungai untuk dimandikan sebelum dihanyutkan dengan air sungai yang mengalir. Tradisi ini juga bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim dengan masyarakat setempat sebelum bermulanya puasa. Maka, adalah tidak hairan jika mereka bakal menyambut hari raya lebih awal dari umat Islam yang lain apabila genap berpuasa selama 30 hari.

Justeru itu, nyata lagi bersuluh ideologi yang dibawa oleh Jemaah Tarekat Nasyabandiyah ini adalah sesat dan terpesong dari ajaran Islam yang sebenar. Meskipun pengaruh tarekat ini yang turut berkembang di Malaysia khususnya di Negeri Sembilan telah dibanteras, namun jadikan ianya sebagai sempadan supaya tidak melebihi batas-batas akidah sebagaimana ketetapan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sumber: news.detik.com dan tempo.co – FEB 2025