Kemunculan poster promosi berkenaan ajaran sesat Ahmadi Religion of Peace and Light di Muar baru-baru ini menimbulkan kebimbangan ajaran yang diasaskan oleh Abdullah Hashem, warga negara Amerika Syarikat berketurunan Mesir ini cuba dihidupkan semula.
Jika diimbas kembali, ajaran ini mula menular di Malaysia secara agresif melalui platform media sosial dengan taktik yang sangat terancang bagi menarik perhatian generasi muda dan mereka yang kurang mendalami ilmu agama. Antaranya:
i. Sesi penstriman langsung di TikTok melalui akaun utama mereka dikesan mempunyai lebih 30,000 pengikut sebelum ianya disekat oleh SKMM;
ii. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dalam video dan sesi langsung bagi memudahkan dakyah diterima oleh masyarakat tempatan;
iii. Istilah Bahasa Arab sering digunakan dan memetik ayat-ayat al-Quran serta hadis yang disalah tafsir untuk menampakkan seolah-olah ajaran ini adalah sebahagian daripada Islam;
iv. Penyebaran Mesej Pluralisme sebagai naratif ‘keamanan’ dan ‘cahaya’ serta mendakwa semua agama adalah satu.
Antara kepercayaan mereka yang jelas bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) termasuklah:
i. Penghinaan Nabi: mendakwa beberapa Nabi termasuk Nabi Muhammad SAW hampir ditarik balik kenabiannya;
ii. Ibadah menyeleweng: mendakwa bulan Ramadan jatuh pada bulan Disember, menghalalkan pengambilan alkohol secara sederhana dan memansuhkan solat lima waktu;
iii. Kewujudan Kaabah: mendakwa Kaabah yang asal terletak di Petra, Jordan, bukannya di Mekah;
iv. Konsep Akhirat: Menafikan kewujudan syurga dan neraka di akhirat serta mendakwa syurga Nabi Adam terletak di dunia;
v. Kepimpinan: Mempercayai Abdullah Hashem sebagai ‘The Riser’ (Qaim) yang memimpin manusia untuk menyambut Imam Mahdi;
vi. Liberalisme: mendakwa pemakaian hijab tidak wajib dan menerima komuniti LGBTQ secara terbuka.
Di Malaysia, ajaran ini telah diisytiharkan sesat, menyeleweng dan bercanggah dengan ajaran Islam oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada Disember 2024.
Justeru itu, penting untuk masyarakat sentiasa berwaspada terhadap ajaran atau fahaman yang mungkin mengelirukan atau bertentangan dengan ajaran agama Islam yang sebenar sebagaimana pegangan ASWJ. Menjaga kesedaran masyarakat adalah tanggungjawab bersama agar tidak terpengaruh dengan ajaran yang boleh memesongkan akidah dan perpaduan.
Sumber: Malaysia Gazette – 29 JAN 2026








