Tinggal kurang dua minggu sahaja lagi sebelum kita melangkah masuk ke bulan yang paling agung dalam kalender Islam — Ramadan Al-Mubarak, penghulu segala bulan. Bulan yang dinanti-nantikan oleh orang-orang beriman kerana di dalamnya terbuka seluas-luas pintu rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka.
Namun, dalam keterujaan menanti Ramadan, jangan sekali-kali kita melupakan bulan Syaaban — bulan yang sering dipandang sepi, tetapi sarat dengan keberkatan. Hakikatnya, Syaaban adalah jambatan rohani yang menghubungkan kita dengan Ramadan. Ia adalah medan persediaan, tempat kita melatih jiwa agar tidak terkejut saat Ramadan tiba.
Rasulullah SAW sendiri sangat memuliakan bulan Syaaban. Baginda memperbanyakkan ibadah, khususnya puasa, sebagai latihan rohani sebelum Ramadan. Ini memberi isyarat jelas bahawa Ramadan bukanlah bulan yang datang secara tiba-tiba, tetapi perlu disambut dengan hati yang bersedia dan jiwa yang bersih. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.” (QS Al – Baqarah: 183).
Ayat ini menjelaskan bahawa tujuan utama Ramadan adalah untuk melahirkan ketakwaan. Namun ketakwaan tidak lahir dalam keadaan hati yang kusut, lalai dan penuh dengan dosa yang tidak disesali. Justeru, Syaaban hadir sebagai titik mula untuk menjernihkan segala kekusutan kehidupan dan memperbaiki hubungan dengan Allah SWT, sesama manusia dan juga diri sendiri.
Inilah masanya untuk kita menyusun semula jadual kerohanian:
• memperbaiki solat,
• melazimi al-Quran,
• memperbanyakkan istighfar dan selawat,
• serta membersihkan hati daripada sifat hasad, dendam dan riya’.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya.” (QS Asy – Syams: 9).
Maka, jangan biarkan Ramadan datang ketika hati kita masih berat dan jiwa kita masih lalai. Gunakan baki hari di bulan Syaaban ini sebagai ruang persiapan, agar apabila Ramadan tiba, kita menyambutnya bukan sekadar dengan fizikal yang berpuasa, tetapi dengan hati yang hidup, tenang dan penuh pengharapan kepada Allah SWT.
Sumber: Politeknik Muadzam Shah








