Home Kemanusiaan/Motivasi HORMATILAH PERBEZAAN DAN ELAKKAN PERPECAHAN DEMI KEHARMONIAN MASYARAKAT

HORMATILAH PERBEZAAN DAN ELAKKAN PERPECAHAN DEMI KEHARMONIAN MASYARAKAT

638
0

Kepincangan perpaduan kaum yang berlaku pada masa kini tidak sepatutnya dipandang enteng kerana ia boleh menjadi barah kepada negara. Justeru, setiap orang perlu memainkan peranan dalam mencari ruang keharmonian, menjauhi ketaksuban dan berdialog secara rasional bagi mengelak tercetusnya perbalahan antara kaum. Meskipun ada perbezaan dan kepelbagaian kaum, ia sepatutnya menjadi faktor kekuatan dan keutuhan daya saing di peringkat global.

Firman Allah SWT:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku-puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)”. (QS al-Hujurat: 13)

Islam adalah agama yang meraikan perbezaan. Seperti ayat di atas, Islam sangat menitikberatkan tentang perbezaan yang perlu diraikan bersama. Hal ini kerana melalui perbezaanlah, maka tercetusnya satu sifat toleransi dan keharmonian. Sebagai contoh, Islam memperakui kebebasan beragama bagi setiap manusia dan tiada siapa pun boleh dipaksa untuk memeluk agama Islam dan meninggalkan agama yang dianutinya. Orang bukan Islam juga mempunyai hak dan kewajipan berkaitan dengan peraturan masyarakat dan hak kewarganegaraan.

Konsep tolak ansur (tasamuh) perlu diperkemas dengan berpaksikan prinsip keadilan yang telah digariskan oleh Islam. Malah, al-Quran juga telah menjelaskan kepada umat Islam bahawa nilai toleransi itu kepada manusia adalah dengan menerima perbezaan, saling menghormati dan melakukan keadilan. Islam adalah agama perdamaian dan ini telah banyak dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan dibuktikan secara praktikal oleh Rasulullah SAW melalui sejarah kehidupan dan perjuangan Baginda.

Namun, perlu diingatkan bahawa dalam kita meraikan perbezaan perlulah diselangi dengan prinsip bahawa toleransi mempunyai had yang tertentu. Konsep ini bukan sahaja menumpukan sifat belas kasihan tetapi juga ketegasan. Islam tidak sewenang-wenangnya bertoleransi dengan semua perkara, lebih-lebih lagi yang berkaitan soal agama dan golongan kafir zimmi. Ini sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW:

“Sesiapa menzalimi kafir yang diikat perjanjian setia kepada kerajaan Islam atau mengurangkan haknya, atau membebankannya diluar keupayaannya atau diambil sedikit daripada haknya tanpa kebenarannya, maka aku menjadi pembelanya pada hari Kiamat.” (HR Abu Daud) 

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)